Nama
Dr.Muhammed Abdul Khalid tiba-tiba meniti di bibir ramai warga Malaysia
selepas pandangan beliau dalam sebuah rancangan wawancara yang
disiarkan di TV3 pada hujung Oktober lalu.
Dengan loghat utara
yang pekat, Dr.Muhammed Abdul Khalid menjawab soalan pertama panel
dengan penerangan yang cukup mudah, sesuatu yang menjadi identiti beliau
sekian lama. Walaupun bergelar seorang akademik yang mempunyai
pengetahuan tinggi, kelebihan Dr.Muhammed Abdul Khalid yang dikagumi
adalah keupayaan beliau menafsirkan sesuatu dalam cara yang mudah
difahami tanpa memerlukan penggunaan perkataan bersifat 'mumbo-jumbo'
yang kerap mengangkiti ramai cendekiawan di negara kita.
Ramai
pasti mengenali beliau sebagai penulis dan penyelidik kepada buku 'The
Colours of Inequality : Ethnicity, Class, Income and Wealth in
Malaysia.' Buku tersebut secara konsisten terletak dalam senarai buku
terlaris penjual-penjual buku dan kandungan buku tersebut ditulis sama
seperti bagaimana Dr.Muhammed Abdul Khalid menerangkan tentang sesuatu
perkara.
Anak kelahiran Pulau Pinang, Dr.Muhammed Abdul Khalid
adalah seorang ahli ekonomi Melayu yang boleh dikatakan muda. Belajar di
Universiti of Southern California dalam jurusan kewangan, beliau
melanjutkan pengajian peirngkat sarjana di Universiti Malaya dalam
bidang ekonomi.
Selepas itu, beliau menambah koleksi kelulusan
sarjana beliau dengan melanjutkan pengajian di Paris Institute of
Political Studies dalam bidang Hubungan Awam sebelum bergelar Doktor
Falsafah melalui Institusi yang sama pada tahun 2010.
Kajian beliau sejak dulu dapat disimpulkan dalam 3 isu besar yang menyebabkan ketidak seimbangan ekonomi di Malaysia.Yang
pertama, berlakunya diskriminasi kaum terhadap graduan bangsa Melayu
walaupun graduan Melayu itu mempunyai kadar kelayakan yang sama dengan
graduan bangsa lain.
Diskriminasi yang berlaku datang dalam bentuk
peluang mendapatkan pekerjaan, kadar gaji serta layanan di tempat kerja
dan ini menyukarkan graduan Melayu mengumpulkan aset.
Kedua,
perbezaan jurang di antara harta warisan atau harta pusaka yang
diterima, cukup berbeza di antara bangsa ke bangsa di Malaysia. Kajian
beliau membuktikan segelintir ibu bapa kaum Cina mempunyai keupayaan
meninggalkan aset yang jauh lebih besar nilainya berbanding ibu bapa
kaum lain, yang membolehkan individu berbangsa Cina mempunyai kelebihan
dalam persaingan ekonomi.
Yang terakhir dan kerap kali menjadi
kritikan beliau, adalah kegagalan pihak pemegang amanah berbangsa
Melayu, yang tidak mengendahkan status sosioekonomi bangsa Melayu baik
dari segi politik mahupun pengurusan kerajaan. Menurut kajian beliau,
pemimpin-pemimpin politik berbangsa Melayu terlalu cenderung untuk
menghabiskan masa dengan berpolitik berbanding membantu meningkatkan
lagi taraf ekonomi orang Melayu.
Berpengalaman
luas dalam bidang ekonomi, Dr. Muhammed Abdul Khalid mempunyai
kemahiran berbahasa Inggeris dan Perancis dengan lancar. Kini beliau
berkhidmat sebagai Pengarah Urusan dan Ahli Ekonomi kepada DM Analytics,
sebuah badan yang bertanggungjawab mengkaji realiti sebenar kesan dasar
ekonomi pada golongan peringkat bawahan. Turut bersama beliau adalah
dua orang lagi ahli ekonomi terkenal Malaysia, Tan Sri Professor Kamal
Salih dan Dr. Muhammad Ikmal Mohd. Said.
Pengalaman yang beliau
perolehi juga bukan calang-calang. Beliau pernah berkhidmat sebagai
Juruanalisis bersama Institut of Strategic and International Studies
(ISIS) kemudian berhijrah ke Suruhanjaya Sekuriti Malaysia sebagai
Pengarah Ekonomi. Kejayaan beliau di situ membolehkan beliau dipancing
oleh Khazanah Research Institute sebagai Pengarah Penyelidikan sebelum
mengasaskan DM Analytics ketika ini.
Dr.
Muhammed Abdul Khalid banyak memberikan ceramah dan pandangan yang
membuatkan banyak pihak tidak senang duduk, bukan sekadar pihak
pemerintah, malahan kepada kumpulan individu dan peniaga yang kerap
mengambil kesempatan ke atas ketidak seimbangan ekonomi ini.
Bagi mereka yang berminat untuk mendalami
pandangan Dr. Muhammed Abdul Khalid dengan lebih halus, selain daripada
buku karangan beliau, anda juga boleh memuat turun dua tesis beliau yang
bertajuk 'Discrimination of high degrees: race and graduate hiring in Malaysia' yang telah diterbitkan dalam Journal of Asia Pacific Economic pada tahun 2016 dan 'Household wealth in Malaysia: Composition and inequality among ethnic groups' yang terbit dalam Jurnal Ekonomi Malaysia pada tahun 2011. Kami kongsikan pautan di bawah.
Untuk yang berminat membaca lebih lanjut selepas khatam buku 'The Colours of Inequality : Ethnicity, Class, Income and Wealth in Malaysia', kami mencadangkan kepada anda untuk mencari buku 'Income Inequality and Poverty in Malaysia' karya Shireen Mardziah Hashim yang membawakan isu sama yang diperjuangkan Dr. Muhammed Abdul Khalid dalam bentuk lebih berat.
Rujukan
Blog Dr.Muhammed Abdul Khalid
No comments:
Post a Comment