Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua berkata tidak wajar mengaitkan isu banjir dengan agama.
KUALA
LUMPUR: Tindakan mengaitkan bencana banjir di Pulau Pinang sebagai
hukum karma adalah petanda seseorang itu mempunyai masalah otak, kata
wakil rakyat DAP.
“Kalaulah segala bencana terjadi kerana menghina agama, apa yang
boleh kita katakan pula terhadap bencana yang berlaku di negara yang
beragama?” soal Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua kepada
pemberita di Parlimen hari ini.
“Jika terjadi di Kelantan, apakah maksudnya? Jika berlaku di Kuala
Lumpur, apa pula maksudnya? Kita tidak boleh kaitkan bencana dengan
agama. Ia tidak sepatutnya dikaitkan. Orang yang hendak kaitkan bencana
dengan agama ada masalah otak,” katanya
Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad menyifatkan cubaan mengaitkan
musibah yang berlaku di Pulau Pinang dengan hukum karma sebagai politik
murahan.
“Bila bencara berlaku kita bantu, jangan mengkritik. Kita tumpu
membantu dan tunjukkan keprihatinan kita. Itu ujian daripada Tuhan,”
kata pemimpin Amanah itu.
“Pandai-pandai hendak keluarkan hujah sebegitu. Banyak negeri dilanda
banjir seperti Kedah dan Kelantan. Tidak boleh dengan
sewenang-wenangnya beri kesimpulan sebegitu,” katanya.
Semalam, Ahli Parlimen Padang Besar Datuk Zahidi Zainul Abidin
berkata, hukuman akan tiba apabila pemerintah melakukan kerosakan
seperti menebang hutan di kawasan bukit, mengurus pembangunan secara
tidak betul atau melaga-lagakan sesama agama.
Tambah Zahidi, perbuatan menghina agama atau menganjurkan pesta yang
bertentangan dengan agama sehingga membangkitkan kemarahan masyarakat
juga boleh mengundang bencana.
“Jangan lupa kadang-kadang apabila kita lakukan perkara tidak baik…
sudah tentulah hukuman akan tiba dan rakyat menderita,” katanya di Dewan
Rakyat, semalam.
Banjir di Pulau Pinang awal minggu lalu dikatakan antara yang
terburuk pernah melanda negeri itu sejak 1995. Dalam masa kurang 24 jam,
Pulau Pinang mencatat jumlah hujan bersamaan 1 bulan setengah, dan
sesetengah kawasan ditenggelami air sehingga 1m.
Bencana itu mengorbankan 7 orang, di samping memaksa lebih 4,000
penduduk berpindah selepas kediaman mereka dinaiki air sehingga
memusnahkan harta benda.
Jabatan Meteorologi meramalkan lebih banyak hujan akan turun di wilayah utara Malaysia Barat.
FMT
No comments:
Post a Comment