(Ubah saiz teks)
KUALA LUMPUR - Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam
(Cuepacs) meminta kerajaan mempertimbangkan semakan semula Imbuhan
Tetap Khidmat Awam bagi meringankan beban penjawat awam yang berdepan
dengan kos sara hidup yang semakin meningkat.
Presidennya Datuk Azih Muda berkata Ceupacs turut meminta kerajaan
mengkaji semula Elaun Perumahan Wilayah untuk penjawat awam di Sabah dan
Sarawak yang tidak disemak sejak lebih 10 tahun lepas.
"Dalam pada itu, kerajaan juga perlu menggantikan Skim Saraan Baru
Perkhidmatan Awam (SBPA) yang telah dibatalkan kerana sistem saraan baru
perkhidmatan awam yang dikenali sebagai SST (Sistem Saraan
Transformatif) yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak
pada tahun 2013 tidak merangkumi semua skim perkhidmatan awam,”
katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Bual Bicara
terbitan Bernama News Channel di Wisma Bernama, di sini hari ini.
Azih berkata cadangan Cuepacs itu adalah berdasarkan kepada situasi
ekonomi sekarang yang memberi kesan kepada penjawat awam akibat kenaikan
harga barang justeru kerajaan wajar melakukan semakan gaji dan
imbuhan penjawat awam bagi mengurangkan tekanan hidup yang mereka
hadapi.
Untuk rekod, Imbuhan Tetap Khidmat Awam tidak disemak semula oleh
kerajaan sejak sedekad yang lepas, dan Ceupacs berpendapat kerajaan
perlu memberi perhatian terhadap kebajikan penjawat awam terutama
mereka yang berkeluarga, katanya.
Mengenai Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) , Cuepacs
mendapat laporan bahawa sebanyak 48 peratus permohonan sehingga kini
telah ditolak kerana tidak memenuhi kriteria gaji yang ditetapkan LPPSA.
Sehubungan itu, Cuepacs mencadangkan agar kadar faedah pinjaman LPPSA
dikurangkan daripada empat peratus kepada hanya satu peratus bagi
membolehkan lebih ramai penjawat awam memiliki rumah idaman, kata
Azih. - Bernama
No comments:
Post a Comment