(Ubah saiz teks)
"MERAIKAN kejayaan Piala Malaysia dimenangi Johor Darul Ta’zim (JDT) adalah hak mutlak saya sebagai Tunku Mahkota Johor (TMJ)".
Demikian kenyataan yang dikeluarkan pemilik Kelab Bolasepak JDT, Tunku
Ismail Sultan Ibrahim untuk membidas pandangan sesetengah pihak yang
mempersoalkan kredibilitinya sebagai Presiden Persatuan Bolasepak
Malaysia (FAM).
“Hari ini ada orang mengatakan yang saya tidak boleh meraikan kejuaraan
ini bersama Kelab JDT, oleh kerana saya ada Presiden FAM.
“Saya adalah Ismail Ibrahim, Tunku Mahkota Johor dan ia adalah hak
mutlak saya untuk raikan bersama pasukan yang saya sayang dan
rakyat-rakyat yang saya sayang.
“Tiada orang boleh mempertikaikan atau mempersoalkan perkara itu,”
katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Kejuaraan Piala Malaysia di
Dataran Bandaraya, di Johor Bahru, sebentar tadi.
Pada majlis berkenaan, lebih 3,000 penyokong tegar pasukan berkenaan
berhimpun bagi menyambut kepulangan wira-wira JDT bersama piala keramat
yang sudah 26 tahun tidak dirangkul itu.
Tunku Ismail juga menzahirkan ikrarnya pada majlis itu yang mana mahu
memastikan pasukan itu kekal sebagai pendominasi dalam koncah bolasepak
tempatan dan sekitar rantau ini.
“Maklumlah, sekarang ini musim pun dah habis, dah tutup buku, jadi saya
dan pasukan perlu bekerja lebih keras untuk menghadapi musim-musim akan
datang.
“Perkara ini adalah untuk memastikan kami di JDT terus mendominasi era
bolasepak moden di seluruh rantau Asia Tenggara ini mahupun arena
tempatan,” katanya.
Dalam pada itu, ucapan terima kasih yang tidak terhingga juga turut
dilafazkan beliau kepada seluruh penyokong dan barisan pemain serta
kejurulatihan JDT yang banyak membantu dalam mengembangkan era
kegemilangan Harimau Selatan bagi tempoh empat tahun ini
No comments:
Post a Comment