Sinar, 3 November 2017
NEW DELHI - INDIA. Sekurang-kurang seorang terbunuh manakala 45 pelajar
cedera dalam satu nahas bas sekolah di negeri Uttar Pradesh yang
terletak di utara India pada Jumaat, lapor agensi berita China Xinhua
memetik kenyataan polis.
"Nahas itu berlaku apabila bas sekolah tersebut terbalik di Lebuhraya
Yamuna berhampiran pekan pelancongan Agra selepas pemandunya hilang
kawalan apabila tayar kenderaan terbabit meletup dan melanggar pembahagi
jalan," kata seorang pegawai kanan polis.
Pemandu bas itu meninggal dunia di tempat kejadian manakala kesemua
pelajar yang cedera dihantar ke Kolej Perubatan S.N. di Agra.
"Keadaan empat daripada pelajar terbabit adalah serius," kata pegawai polis itu.
"Beberapa orang guru yang mengiringi pelajar terbabit turut cedera namun dibebaskan selepas menerima pertolongan kecemasan."
Bas itu membawa 50 pelajar dan enam guru dari Sekolah Alok Bharti dari
negeri jiran iaitu Himachal Pradesh, dan sedang dalam perjalanan ke Agra
untuk melawat Taj Mahal, antara ikon yang menjadi tujuh keajaiban
dunia, semasa nahas itu berlaku.
Saksi memberitahu polis bahawa bas tersebut telah dipandu dengan laju,
menyebabkan pemandunya hilang kawalan selepas tayar kenderaan itu
meletup di Lebuhraya Yamuna, sebuah koridor berkelajuan tinggi yang
menghubungkan ibu kota India dengan Agra.
Satu siasatan telah diarah dijalankan, kata pegawai itu.
Jumlah kematian akibat nahas jalan raya India adalah antara yang tertinggi di dunia.
Kebanyakan nahas itu berlaku disebabkan cara pemanduan yang buruk atau penyelenggaraan jalan dan kenderaan yang teruk. –Bernama
No comments:
Post a Comment