GEORGE
TOWN: Dua lelaki mengalami simptom letih dan lemah yang teruk sehingga
terpaksa dirawat di Hospital Pulau Pinang (HPP) dipercayai selepas
meminum sejenis kopi.
Pengarah Jabatan Kesihatan Pulau Pinang Dr Wan Mansor Hamzah berkata 2
lelaki itu masih menerima rawatan di HPP dan dilapor berada dalam
keadaan stabil.
“Mereka mendapatkan rawatan di Bahagian Kecemasan HPP hari ini kerana
mengalami beberapa simptom antaranya letih dan lemah yang teruk. Dua
lelaki itu mendakwa gejala berkenaan berlaku selepas minum sejenis kopi.
“Pihak kami menjalankan siasatan terperinci berhubung dakwaan dua
lelaki itu serta sedang membuat beberapa ujian termasuk ujian darah ke
atas mereka untuk mengenal pasti punca sebenar,” katanya ketika
dihubungi Bernama malam tadi.
Beliau berkata pihaknya juga akan mendapatkan sampel kopi berkenaan
untuk diuji bagi memastikan sama ada ia berpunca daripada minuman itu
atau tidak.
Dr Wan Mansor berkata Jabatan Kesihatan Pulau Pinang akan
mengeluarkan kenyataan rasmi selepas mendapat keputusan berhubung ujian
terhadap mangsa dan sampel kopi berkenaan.
Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang mengalami simptom
sama supaya mendapatkan rawatan segera di mana-mana klinik atau hospital
berdekatan mereka.
Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdulah
dalam kenyataan melalui laman Facebook beliau hari ini berkata pihaknya
mengesan berita yang ditularkan melalui aplikasi WhatsApp berhubung
beberapa pesakit yang mendapatkan rawatan di HPP selepas meminum sejenis
kopi.
Beliau berkata Jabatan Kesihatan Pulau Pinang sedang membuat siasatan
mendalam mengenai perkara itu dan akan memaklumkan kepada umum sebaik
mendapat kepastian.
“Masyarakat dinasihat supaya menjaga kebersihan dan keselamatan
makanan atau minuman serta segera mendapatkan rawatan di mana-mana
fasiliti kesihatan sekiranya mengalami apa-apa gejala penyakit,” katanya
No comments:
Post a Comment