Pengerusi PH berkata tindakan bekas menteri besar Selangor itu secara tidak langsung akan membantu BN.
PETALING
JAYA: Pengerusi Pakatan Harapan Tun Dr Mahathir Mohamad membidas
tindakan bekas menteri besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim yang ingin
membantu kempen PAS di Selangor.
Beliau berkata tindakan Khalid secara tidak langsung akan membantu
Barisan Nasional (BN) dan membenarkan dakwaan PAS menyebelahi BN.
“Ini negara yang bebas, sangat bebas sampai boleh bantu untuk BN,”
katanya sinis pada sidang media selepas mesyuarat Majlis Presiden
Pakatan Harapan (PH) di ibu pejabat PPBM hari ini.
Dalam masa yang sama, Dr Mahathir percaya pembabitan Khalid dalam
kempen PAS tidak akan memberikan kesan besar pada PH pada pilihan raya
umum nanti.
“Dia bukannya ahli politik, dia ahli perniagaan,” katanya.
Hari ini, PAS Selangor dilaporkan sedia menawarkan kerusi DUN
Pelabuhan Klang dan Parlimen Bandar Tun Razak kepada Khalid, selepas
beliau mengumumkan akan membantu parti Islam itu berkempen pada PRU14.
Bulan lalu, Khalid menghadiri Konvensyen Umno Selangor tetapi menafikan beliau akan menyertai parti itu.
Bekas bendahari agung PKR itu dilaporkan berkata, beliau menghadiri
konvensyen tertutup itu sebagai tanda sokongan kepada BN untuk merampas
Selangor.
Pada 21 Januari lalu, Khalid dilaporkan menyertai Himpunan Fastaqim
2.4 dan pelancaran jentera pilihan raya PAS Selangor di Shah Alam
No comments:
Post a Comment