Friday, February 2, 2018

Melayu sekarang lain, PH beritahu Ku Li

 | February 2, 2018
PPBM berkata Ku Li terlepas hakikat bahawa ledakan maklumat memberi kesedaran politik kepada orang Melayu zaman ini.
Kamarudin--ku-liPETALING JAYA: PPBM menepis kenyataan Tengku Razaleigh Hamzah yang menganggap pengaruh Umno terhadap penduduk Melayu di luar bandar masih sangat kuat, menjadikannya rumit pembangkang mendapatkan undi mereka pada pilihan raya akan datang.

Ketua Penerangan PPBM Datuk Kamaruddin Mohd Noor berkata kenyataan sedemikian hanya boleh keluar daripada seseorang yang tidak menyedari tentang perkembangan politik yang berlaku pada beberapa tahun belakangan ini.
“Tanda-tandanya jelas,” katanya.

“Barisan Nasional (BN) sudah hilang majoriti 2/3 di Parlimen dan ia sudah kehilangan Selangor dan Pulau Pinang, selain daripada Kelantan. Undian popular bagi gabungan pemerintah sudah mula mengecil.”

Dalam wawancara bersama FMT baru-baru ini, Tengku Razaleigh yang terkenal dengan panggilan Ku Li berkata penghijrahan orang Melayu ke kawasan bandar tidak menjadikan mereka “orang bandar”, sebaliknya sebahagian besar masyarakat itu masih berteraskan kehidupan kampung tetapi tinggal di bandar atas sebab keperluan.

Katanya, pengundi muda sekali pun tidak mungkin menyokong pembangkang kerana mereka akan mengundi Umno kerana patuh kepada kehendak orang tua.
Kamarudin berkata, Ku Li jelas tidak mengambil kira kesan ledakan maklumat mengenai kesedaran politik dalam kalangan Melayu.

“Melayu hari ini lebih banyak mengetahui maklumat berbanding dahulu,” katanya.
“Mereka kini boleh memperoleh maklumat di hujung jari,” tambahnya.
Beliau menegaskan, jumlah pengundi paling banyak adalah mereka yang berusia 40 tahun dan ramai daripada generasi Ku Li sudah digantikan oleh mereka yang lahir selepas Merdeka.

“Isu ekonomi dan peningkatan kos hidup disebabkan oleh ekonomi negara yang disalah urus adalah isu utama bagi mereka,” katanya.
“Pengundi muda tidak mempunyai perasaan kuat terhadap Umno dan BN seperti mana yang dirasai oleh bapa mereka. Mereka sudah bersedia untuk perubahan.”
Ketua Setiausaha Sekretariat Pakatan Harapan, Datuk Saifuddin Abdullah, turut mengkritik Ku Li atas kenyataannya, mengatakan Ku Li seolah-olah menghina kebijaksanaan Melayu hari ini.

“Mereka lebih bijak, melainkan jika Ku Li lebih gemar melayan mereka seperti mereka tidak pandai,” katanya kepada FMT.
“Melayu hari ini faham tentang realiti hari ini, termasuklah faktor universal seperti media sosial, kesedaran sosial baharu, dan gerakan dan gelombang demokrasi ke-3. Mereka juga memahami faktor tempatan seperti pendidikan, pembandaran dan golongan kelas pertengahan.

“Melayu hari ini tidak lagi takut akan perubahan dan mereka sudah menunjukkannya pada 2 pilihan raya lepas.”

No comments:

Post a Comment