(Ubah saiz teks)
TANAH MERAH - Pakatan Harapan (Harapan) terutama Amanah tidak perlu
bersusah payah menjatuhkan Kerajaan Pas Kelantan pada PRU14 nanti kerana
parti Islam itu akan jatuh dengan sendiri.
Pengerusi Harapan Kelantan, Datuk Husam Musa berkata, ini kerana
kegagalan Pas mentadbir negeri ini dengan baik menyebabkan rakyat
Kelantan sendiri akan menolak parti itu pada pilihan raya umum tersebut.
Katanya, antaranya ialah kegagalan kerajaan negeri menyelesaikan
masalah air, isu pembangunan yang didakwa sengaja diperlahankan dan
sikap lepas tangan berhubung masalah sosial di negeri ini.
“Saya nak jawab Nik Amar (Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik
Abdullah) yang kata Amanah nak jatuhkan kerajaan Pas di Kelantan.
“Saya sudah beratus kali sebut, Pas Kelantan ini kita tidak payah
jatuhkan kerana ia akan jatuh dengan sendiri dengan masalah air yang tak
selesai, masalah pembangunan dia nak perlahankan.
“Kalau kerajaan Pas jatuh, itu sudah biasa bila rakyat tolak dan bukan
sekali ini Kerajaan Pas Kelantan pernah jatuh,” katanya ketika berucap
merasmikan pelancaran Jentera Pilihan raya Harapan Tanah Merah,
kelmarin.
Hadir sama Timbalan Pengerusi Harapan Kelantan, Datuk Kamaruddin Mohd
Nor, Pengarah Pilihan raya Harapan Kelantan, Datuk Sazmi Miah dan
Pengerusi Harapan Tanah Merah, Prof Datuk Dr Samsul Adabi Mamat.
Menurutnya, Pas Kelantan juga cuba mengelirukan rakyat apabila mendakwa
mempunyai sumber kewangan yang cukup untuk mentadbir urus negeri tetapi
pada masa, meminta ‘sedekah’ dari kerajaan pusat.
“Jangan kelirukan rakyat kata kerajaan Kelantan cukup duit kerana
defisit belanjawan mengurus pada tahun lepas sahaja RM100 juta yang
dibayar oleh kerajaan pusat.
“Bila kerajaan pusat bagi duit, maknanya duit tak cukup.
“Dari satu sudut, perkara ini tak perlu diperbesarkan kerana itu
tanggungjawab kerajaan pusat tapi dari satu sudut lain, kerajaan negeri
kena mengaku duit tak cukup,” jelasnya.
Membuat perumpamaan fenomena gerhana bulan, semalam, dengan Pas yang
menggunakan logo bulan, Husam berkata lagi, jika bulan pun gerhana,
tidak mustahil Pas Kelantan akan menjadi seperti ‘gerhana’ pada PRU14
nanti.
Namun, katanya, jika bulan gerhana disebabkan bumi berada antara bulan
dan matahari, namun Pas gerhana bukan disebabkan Amanah atau Harapan
berada ‘di tengah’.
“Awal-awal lagi kita ajak Pas untuk bersama tetapi Pas ambil keputusan sendiri keluar dari Pakatan Rakyat dan bukannya dipecat.
“Pertamanya kerana tak bersetuju dengan DAP padahal sebelum itu boleh bersetuju.
“Selepas itu, Pas putuskan pula hubungan (tahaluf siyasi) dengan PKR.
“Pas sendiri menggerhanakan diri dan mengasingkan diri.
“Bukan kerana Amanah datang, Bersatu dan PKR ‘kacau daun’ atau DAP
khianat tetapi kerana Pas gagal tadbir negeri sehingga rakyat Kelantan
sendiri akan tolak,” tegasnya.
Husam yang juga Naib Presiden Amanah menegaskan, sejak dari awal lagi
tugas Harapan adalah untuk mengelakkan Kerajaan Kelantan jatuh ke tangan
BN.
“Kita nak ambil Kerajaan Kelantan sebab tak nak bagi kepada BN kerana mereka dahsyat.
“Tetapi dalam sesetengah segi, mungkin Pas lebih dahsyat daripada BN.
“Contohnya dari segi keluasan kawasan tebangan balak menunjukkan rekod
yang Pas Kelantan buat sekarang lebih dahsyat daripada kerajaan BN di
Pahang, Perak dan Johor,” katanya
No comments:
Post a Comment