Thursday, April 26, 2018

Johari tegur PAS: Bukan begitu cara tangani Zouk...

   
PRU14 l Calon BN untuk kerusi Parlimen Titiwangsa mengecam PAS kerana mempolitikkan isu sensitif berhubung janji mereka memindahkan pusat hiburan Zouk ke tempat lain jika menang di kerusi berkenaan.
Menurut Datuk Seri Johari Abdul Ghani langkah diambil PAS itu bukan sesuatu yang wajar dilakukan.

“Malaysia sebuah negara berbilang bangsa, dengan orang Melayu, Cina dan India mengamalkan budaya masing-masing.
"Mereka (PAS) tak boleh memaksa orang lain mengikut apa yang bangsa lain percaya," katanya seperti dipetik The Star Online hari ini.

Pada 25 April lalu media melaporkan PAS berjanji memindahkan pusat hiburan berkenaan jika calon mereka, Mohamad Noor Mohamad, memenangi kerusi parlimen Titiwangsa pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) pada 9 Mei ini.

BH Online melaporkan Mohamad Noor sebagai berkata, tindakan itu bagi menangani isu gejala sosial dan kesesakan lalu lintas.
"Dari jam 10 malam ke atas, kita boleh lihat sendiri kesesakan lalu lintas yang teruk dan lebih menyedihkan apabila melihat segelintirnya adalah orang Islam turut berhibur di kawasan itu," katanya.

Sekarang abad ke-21
Mohamad Noor yang juga pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan memberitahu 71 peratus daripada 65,000 pengundi Titiwangsa ialah Melayu.
"Sewajarnya, ia dipindahkan ke kawasan yang majoritinya masyarakat bukan Islam seperti Bukit Bintang atau lokasi lain yang sesuai khusus untuk berhibur," katanya.

Johari berkata sekarang adalah abad ke-21 dan Titiwangsa bukan terasing daripada tempat lain dalam negara.
Jika ada pihak beranggapan orang Melayu adalah antara pengunjung Zouk, langkah yang sesuai diambil ialah mendidik mereka.

Katanya tidak ada cara mudah untuk mengatasi isu berkenaan, seperti dijanjikan PAS iaitu menutup pusat hiburan berkenaan.
"Apabila ia melibatkan hal pelesenan serta dasar, terserah kepada pihak berkuasa tempatan untuk menanganinya. Kita tidak sepatutnya terlibat," katanya.

No comments:

Post a Comment