BAGHDAD - IRAQ. Hanya selepas sedekad pilihan raya multi parti pertama
di Iraq, rakyat Iraq mula kecewa melihat 'muka lama yang sama' dengan
kepentingan masing-masing bertanding dalam pilihan raya pada kali ini
sejak kejatuhan pemimpin diktator, Saddam Hussein.
"Sudah berapa lama Ibrahim al-Jaafari, Ayad Allawi, Nuri al-Maliki atau
Haider al-Abadi memegang kuasa? Seminit mereka jadi ahli parlimen
kemudian dilantik sebagai menteri," kata penduduk Baghdad, Midan
al-Hamadani, 40, merujuk kepada menteri luar, timbalan presiden, bekas
perdana menteri dan perdana menteri terkini negara itu. Jelasnya, parti
politik sentiasa sama dan muka serupa kembali memegang kuasa.
"Sama ada kami suka atau tidak," katanya secara sinis.
Skandal rasuah yang berleluasa dan kegagalan menyediakan perkhidmatan
asas seperti bekalan air, elektrik dan pengangkutan telah menyebabkan
rakyat hilang kepercayaan terhadap pemimpin politik di negara itu.
Di negara yang mempunyai sejarah konflik dan keganasan antara puak
terpanjang itu bakal menyaksikan lebih 24 juta rakyat layak mengundi
bakal memilih 329 anggota Majlis Perwakilan pada 12 Mei depan.
Baghdad kini meriah dengan dengan poster pilihan raya.
Di sesetengah tempat, wajah calon telah 'menenggelamkan' poster yang
memaparkan mereka yang terkorban dalam perjuangan menentang Daesh di
utara dan barat Iraq pada 2014 hingga 2017.
"Ia adalah muka yang sama! Apa yang mereka pentingkan adalah menjadi
kaya dan bukan berkhidmat untuk rakyat!' kata Haidar al-Shamri, 35 di
tengah Baghdad.
Tokoh dan parti politik sama telah memegang kuasa di Iraq sejak
pencerobohan diketuai Amerika Syarikat yang menggulingkan Saddam pada
2003.
"Jadi, apa perubahan yang berlaku? Sekurang-kurangnya ada 'muka
baharu'. Kami sudah bosan dengan pembohongan," kata Umm Yussef, 54, dari
bandar Mosul secara lantang. Bandar utara kedua terbesar di Iraq itu
musnah dalam operasi dilancarkan tentera kerajaan untuk menyingkirkan
Daesh malah pembinaan semula juga terhenti kerana kekurangan dana
negara.
20 peratus calon pendatang baharu
Terdapat khabar angin yang menyatakan marjaiya yang merupakan pihak
berkuasa agama tertinggi puak syiah telah meminta agar penjawat kini
tidak dipilih semula.
Menurut suruhanjaya pilihan raya, 20 peratus calon adalah pendatang baharu.
Salah seorang wajah baharu adalah Hala Karim, pegawai Kementerian
Kesihatan yang melihat tiada perubahan dalam tempoh 15 tahun (sejak
kejatuhan Saddam) malah keadaan didakwa menjadi semakin buruk.
"Dalam era ini, sistem 'confessional' iaitu pemerintahan yang
menggabungkan agama dan politik semakin meningkat dan situasi semakin
merosot. Kita perlu ubah perkara itu.
"Orang lama telah menggunakan video secara atas talian memfitnah muka
baharu untuk mencetuskan pertelingkahan bagi memastikan mereka kekal
memegang kuasa," kata wanita berusia lingkungan 30-an itu yang
bertanding dalam senarai bebas, Tahalouf Baghdad (Gabungan Baghdad).
Haidar al-Bizani yang turut bertanding dalam pilihan raya kali ini
walaupun pernah gagal untuk memenangi kerusi sebagai calon bebas dalam
pemilihan sebelum ini.
"Tidak mungkin calon bebas boleh menang. Undang-undang 'menghalang'
senarai kecil. Oleh sebab itu, saya bertanding dalam senarai Hikma yang
dipimpin ahli politik syiah, Ammar al- Hakim," katanya yang sanggup
menjual tanah dan berhenti kerja kerana mahu terlibat dalam dunia
politik.
Di wilayah Anbar, penduduk juga tidak sabar menanti perubahan kerana kebanyakan mereka kecewa dengan kelas politik.
"Secara umum, rakyat mahu melihat transformasi radikal dan lengkap.
Kami tidak akan menerima muka sama di bawah nama parti dan slogan
berbeza," kata pemimpin puak Khalidiya di Ramadi, Sheikh Mohammed
al-Nimrawi.
Walaupun berdepan ancaman Daesh yang mahu menyerang pusat pengundian,
kempen masih berlangsung dan poster terus dipamerkan di seluruh negara
tanpa menghiraukan amaran tersebut. - Agensi
Info
- Sistem pengundian elektronik akan digunakan buat pertama kali. Keputusan akan diumumkan dalam tempoh beberapa jam. Sistem baharu itu dapat mengehadkan penipuan undi.
- Pilihan Raya Parlimen pada 12 Mei depan itu adalah yang keempat pernah diadakan sejak kejatuhan Saddam Hussein.
- Lebih 24 juta pengundi layak mengundi.
- Rakyat akan memilih 329 anggota Majlis Perwakilan yang kemudiannya akan melantik perdana menteri dan presiden.
- Kali terakhir Pilihan Raya Parlimen diadakan pada 30 April 2014.
Sinar Harian
No comments:
Post a Comment