Calon Pakatan Harapan DUN Rantau Dr S Streram memberi Suruhanjaya
Pilihan Raya sehingga jam 5 petang, Rabu ini untuk memperbetulkan
kekecohan pada hari pencalonan sehingga menyaksikan beliau gagal
mendaftar sebagai calon.
Katanya, jika suruhanjaya itu gagal berbuat demikian beliau akan
memfailkan saman tort misfeasans dalam jawatan awam ke atas pegawai
pengurus pilihan raya.
Beliau berkata demikian dalam satu surat tuntutan kepada SPR hari ini.
Selain itu, Streram juga membuat dua laporan polis terhadap pegawai
pengurus pilihan raya itu dan SPR mengikut Seksyen 124B dan 124C Kanun
Keseksaan kerana mengganggu proses demokrasi parlimen dengan tidak
membenarkannya menjadi calon.
Peguamnya,
Mohd Haniff Khatri Abdulla, berkata SPR harus memperbetulkan kesilapan
yang dilakukan itu kerana undang-undang seolah-olah melarang cabaran
terhadap kehilangan kelayakan untuk bertanding.
"Masalah bukan ditimbulkan oleh Streram kerana dia memenuhi semua
syarat dengan membayar deposit pada Rabu sebelum hari penamaan, dan juga
mengisi borang seperti yang diperlukan.
"Tidak memakai tag SPR bukan bermakna hilang kelayakan. Ia hanya satu
prosedur tetapi ini tidak membatalkan kelayakan seseorang daripada
bertanding," katanya.
Pada hari penamaan calon Sabtu lalu, Dr Streram tidak dapat
mengemukakan kertas penamaan calon selepas mendakwa dihalang masuk ke
pusat penamaan calon bagi bahagian pilihan raya DUN Rantau dan Parlimen
Rembau.
Ini menyaksikan SPR kemudian mengisytiharkan Menteri Besar Sementara
Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohammad Hasan, sebagai pemenang kerusi DUN
Rantau.
No comments:
Post a Comment