Sinar Harian
(Ubah saiz teks)
KUALA LUMPUR - Bank Negara Malaysia (BNM) menjangka prospek ekonomi
Malaysia kekal kukuh berdasarkan sistem kewangannya yang berdaya tahan
dan teguh walaupun dalam tempoh selepas PRU14.
Gabenor BNM Tan Sri Muhammad Ibrahim berkata ringgit akan mencerminkan
asas ekonomi Malaysia yang kukuh dalam jangka masa sederhana dan
panjang.
“Kekuatan kita boleh dilihat daripada lebihan akaun semasa, kedudukan
rizab yang kukuh, paras hutang luar negeri yang rendah dan penampan
modal yang kukuh dalam sistem perbankan. Kami menjangka keadaan kukuh
ini akan berterusan.
“Sebagaimana kita dapat lihat, sistem kewangan kita berdaya tahan dan
teguh. Dalam beberapa keadaan pada dekad yang lalu, kita dapat
menguruskan pasaran yang tidak menentu disebabkan langkah-langkah
berterusan yang diambil sejak beberapa tahun untuk membangunkan pasaran
kewangan kita,” katanya pada Majlis Graduasi Asian Institute of
Chartered Bankers (AICB) 2018 di sini hari ini.
Muhammad berkata pasaran kini seimbang dan kukuh untuk menyediakan
sokongan struktur bagi keadaan pasaran yang teratur, sambil menambah
bagi melangkah ke hadapan, BNM akan terus memastikan keadaan yang
teratur dalam pasaran kewangan dalam negara.
Beliau berkata Malaysia tidak asing dengan ketidaktentuan jangka
pendek, berikutan ekonomi negara yang terbuka amat bersepadu dengan
pasaran global.
Bagaimanapun, beliau menasihati peserta industri untuk tidak memberi
reaksi yang berlebihan, terutamanya apabila ia disebabkan oleh
faktor-faktor yang bersifat sementara.
“Pengaruh negatif tetapi berkurangan daripada pasaran hadapan yang
tidak diserahkan tidak akan mengurangkan pergerakan ringgit dalam jangka
masa panjang,” katanya.
Pada 10 Mei, Jawatankuasa Dasar Monetari BNM mengumumkan ia akan
mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 3.25 peratus dan
mengekalkan unjuran yang kukuh terhadap ekonomi Malaysia. -Bernama
No comments:
Post a Comment