Bekas menteri kanan, Tan Sri Rafidah Aziz memberi perumpamaan mudah
untuk difahami rakyat mengenai mengapa kerajaan perlu ditukar pada
pilihan raya umum ke-14 (PRU14).
Memberikan analogi Malaysia seperti sebuah rumah besar untuk
melindungi rakyat berbilang kaum, Rafidah berkata keadaan kediaman itu
kini sudah semakin rosak kerana dilanda "makhluk perosak".
Menurut Rafidah rakyat kini mesti menilai prestasi BN dalam 10 tahun
lalu untuk memutuskan sama ada "kontrak menguruskan rumah" itu
perlu disambung atau menyerahkannya kepada "pengurus" lain untuk tempoh
lima tahun akan datang.
"Sekarang ada pihak lain yang menawarkan untuk berkhidmat sebagai kontraktor untuk mengurus rumah kita, Malaysia.
"Ia adalah parti yang di pimpin oleh Tun Mahathir (Mohamad), seorang
pemimpin yang telah terbukti kemampuannya, menjaga dan mengurus rumah
kita dengan sebaik mungkin untuk sekian lama," kata Rafidah dalam satu
kenyataan.
Bekas pemimpin Umno yang pernah menerima julukan wanita besi itu
berkata antara sebab mengapa "kontrak" kepada BN tidak wajar disambung
adalah kerana rakyat kini menanggung beban sara hidup dan harga barang
semakin meningkat.
Katanya, beban ekonomi diletakkan dibahu rakyat melalui cukai
barangan dan perkhidmatan (GST), manakala hutang negara juga semakin
meruncing.
"Keyakinan pelabur-pelabur asing semakin terhakis, kecuali
syarikat-syarikat dari China yang mempunyai pelbagai agenda, termasuk
hubungkait dengan soal jual beli tanah (dan) berhubung 1MDB yang banyak
dipersoalkan," kata Rafidah.
Selain itu katanya berlaku hakisan integriti terhadap institusi
penting negara seperti polis, peguam negara, Suruhanjaya Pencegahan
Rasuah Malaysia (SPRM) dan badan kehakiman.
"Institusi-institusi ini adalah asas dan tulang belakang negara dan
saluran untuk rakyat mendapat keadilan. Tetapi kita mula melihat
keputusan-keputusan yang dibuat semakin tidak rasional, tidak objektif
dan tidak profesional.
"Keputusan mereka acap kali meragukan. Yang amat ketara ialah semua angkara berkaitan skandal 1MDB," katanya.
'Jangan tunggu rumah runtuh'
Rafidah berkata, rakyat Malaysia sebagai 'tuan rumah' berasa malu
dengan keadaan yang berlaku dan tidak wajar menyambung "kontrak"
berkenaan kepada 'Najib & Co'.
"Keadaan rumah kita semakin rosak dan dilanda pelbagai makhluk
perosak. Kita perlu usaha cari kontraktor pengurusan baru untuk mereka
memperbaikinya sekarang," kata beliau.
Menurut Rafidah, rakyat juga tidak perlu menjadi "sentimental" untuk memberhentikan "kontrak" lama.
"Jangan tunggu sampai runtuh rumah kita yang telah berdiri kukuh
tersergam megah untuk sekian lama, tetapi sekarang telah mula mengalami
kerosakan ketara.
"Rakyat Malaysia wajar kali ini menukar kontrak pengurusan negara
tercinta kita, Malaysia. Kita berikan amanah itu kepada Pakatan
Harapan," kata Rafidah.
No comments:
Post a Comment