PRU14 | Belum sempat 24 jam
selepas membuat luahan terbuka di media sosial, PAS hari ini dililhat
menjarakkan dirinya daripada pendirian Nik Abduh Nik Abdul Aziz.
Dalam satu kenyataan hari ini Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan
Ibrahim Tuan Man berkata sesuatu kenyataan mengenai pendirian parti
hanya diiktiraf jika keluar daripada pimpinan utama.
Bagi kenyataan lain, kata Tuan Ibrahim, PAS tidak akan bertanggungjawab.
"PAS ingin tegaskan hanya kenyataan pimpinan utama sahaja adalah
kenyataan rasmi parti, manakala kenyataan lain, PAS tidak
bertanggungjawab," katanya.
Semalam, Nik Abduh yang juga anggota Jawatankuasa Pusat PAS membuat
hantaran di Facebook bagi menjelaskan pendirian beliau dalam isu
pembabitan abangnya dalam Pakatan Harapan.
Calon PAS untuk parlimen Bachok itu antara lain memetik nama ibu mereka, Tuan Sabariah Tuan Ishak.
Di hujung tulisan itu dicatatkan ayat berikut: "Siapa kita tanpa bonda? Sekadar air mani terbuang hina."
Kenyataan keras dan penggunaan bahasa yang dianggap tidak wajar itu memang mengejutkan ramai orang.
Untuk rekod, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang turut
menerbitkan surat terbuka semalam. Namun tidak seperti Nik Abduh,
kenyataan calon parlimen Marang itu bersifat lebih umum, iaitu
menyasarkan anak-anak bekas pemimpin PAS yang memilih parti lain sebagai
wadah politik mereka.
Dalam surat itu Abdul Hadi turut menggunakan contoh kisah Nabi Nuh dan anak baginda yang enggan beriman kepada Allah.
Awasi perang saraf
Kata Tuan Ibrahim kenyataan dibuat oleh Nik Abduh itu hanya mewakili
pandangan keluarga terbabit saja dan tidak perlu ada kenyataan lain
dikeluarkan.
"Tindakan beliau (Nik Omar) bertanding atas tiket Pakatan Harapan
adalah urusan dan pilihan beliau sendiri yang tidak perlu diperbesarkan.
"PAS menganggap sebarang kenyataan melampau yang menyerang beliau (Nik Omar) adalah tindakan yang keterlaluan," katanya.
Tambah Tuan Ibrahim, dalam sistem demokrasi yang diamalkan di
Malaysia seseorang itu bebas memilih mana-mana parti yang diingini.
"Perkara ini bukan perkara baru dalam politik Malaysia. Terlalu banyak kes yang berlaku semasa atau sebelum ini," jelas beliau.
Sementara itu Tuan Ibrahim mengingatkan anggota dan penyokong PAS
supaya berhati-hati dengan permainan perang saraf serta berita palsu
yang sengaja disebarkan untuk menarik sokongan orang ramai.
Malaysiakini
No comments:
Post a Comment