EKSKLUSIF | Bekas anggota polis
yang kini ditahan di Pusat Tahanan Imigresen Australia hari ini berkata,
dia sedia membantu kerajaan Pakatan Harapan untuk mendedahkan apa
sebenarnya berlaku berkaitan kematian Altantuya Shaariibuu 12 tahun
lalu.
Kata Sirul Azhar Umar pendedahan itu boleh dilakukan dengan syarat dia diberikan pengampunan penuh oleh kerajaan baru Malaysia.
Tanpa pengampunan itu, kata Sirul, 45, dia tidak boleh dilepaskan dan pulang ke Malaysia.
"Saya berjanji untuk bekerjasama dengan kerajaan baru, syaratnya saya
dapat pengampunan penuh," katanya kepada Malaysiakini dari pusat
tahanan berkenaan di Sydney.
Menurut Sirul kini semakin ramai orang di Australia percaya dia
adalah tahanan politik dan bukan penjenayah biasa ekoran kekalahan BN
dalam pilihan raya umum (PRU) ke-14 pada 9 Mei lalu.
Kata Sirul dia sangat sedih apabila dia dan keluarganya menjadi
mangsa kecaman orang lain ekoran kes yang dikaitkan dengannya itu.
"Sedangkan mereka tak tahu. Itu kesalahan pertama saya.
"Bersama UTK (Unit Tindakan Khas) saya berkhidmat untuk menangkap dan
bunuh pencuri dan pelbagai jenayah, semuanya untuk keselamatan negara.
"Mereka (orang awam) tak tahu bagaimana UTK berfungsi kerana kami kena ikut perintah," katanya.
Siasat Scoepene juga
Sirul juga menegaskan impiannya menyampaikan ucapan tahniah kepada
dua pemimpin utama Pakatan Harapan (HARAPAN) Tun Dr Mahathir Mohamad dan
Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana memenangi PRU ke-14 lalu.
Mengaku pernah menjadi anggota keselamatan yang mengiringi Dr
Mahathir dan Anwar Ibrahim, Sirul juga berharap dia dapat menyampaikan
ucapan terima kepada ketua umum PKR berkenaan kerana meminta kesnya dibicarakan semula.
"Kalau boleh, saya sanggup (dibicarakan semula) kerana saya
berpendapat perbicaraan lepas tak adil bagi saya, kerana saya menurut
arahan daripada peguam, dan ini yang saya dapat, sedangkan saksi utama
tak dipanggil," katanya.
Semasa perbicaraan kes Altantuya itu di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah
Persekutuan, Sirul diwakili peguam Kamarul Hisham Kamaruddin dan Hasnal
Rezua Merican.
Kata Sirul ekoran sabitan Mahkamah Persekutuan itu dia mengarahkan kedua-dua peguam belanya untuk memfailkan semakan semula.
Bagaimanapun kata Sirul peguam terbabit tidak melakukannya dan ia sudah tiga tahun berlalu.
Sebelum ini dilaporkan bekas hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri
Gopal Sri Ram mencadangkan kerajaan HARAPAN tidak hanya memberi tumpuan
kepada skandal 1MDB, sebaliknya turut melihat kes kapal selam Scorpene
yang dikendalikan di bawah Datuk Seri Najib Razak yang ketika itu
menjadi menteri pertahanan.
Najib kemudian dilantik menjadi perdana menteri keenam Malaysia sebelum HARAPAN mengalahkan BN semasa PRU minggu lalu.
Anggota Parlimen Bukit Gelugor, Ram Karpal Singh juga menggesa
kerajaan menyiasat motif di sebalik pembunuhan wanita warga Mongolia itu.
Malaysiakini
No comments:
Post a Comment