Monday, June 25, 2018

Anwar tarik balik saman terhadap SPR

Hafiz Yatim  |  Diterbitkan
   
Ketua Umum Pakatan Harapan Datuk Seri Anwar Ibrahim menarik balik samannya terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berikutan tidak dibenarkan mengundi dalam pilihan raya kecil Permatang Pauh pada 2015.

Peguam Anwar, Shahid Adli Kamarudin, memaklumkan Timbalan Pendaftar Mahkamah Persekutuan Wan Fatimah Zaharah Wan Yussof mengenai penarikan itu semasa pengurusan kes hari ini.

"Anwar telah bersetuju untuk tarik balik, dan setelah itu kami telah memfailkan notis pemberhentian. Penarikan balik permohonan itu selepas Anwar diberi pengampunan oleh Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V," kata peguam itu.

Anwar pertama kali memfailkan saman itu selepas SPR mengharamkannya daripada mengundi dalam pilihan raya kecil Permatang Pauh yang diadakan selepas beliau mengosongkan kerusi itu kerana disabitkan kesalahan liwat pada 10 Feb 2015.

Pada masa itu, Anwar dan peguamnya berkata permohonan itu difailkan untuk memastikan tahanan dibenarkan mengundi.
Walaupun hakim memutuskan rakyat Malaysia yang ditahan di penjara mempunyai hak bersyarat untuk mengundi, saman itu ditolak Mahkamah Tinggi dan kemudian Mahkamah Rayuan.

Semasa menjalani hukuman penjara, Anwar juga mencabar pelantikan kontroversi ketua hakim negara, Tan Sri Md Raus Sharif dan presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin.

Ini berikutan Zulkefli tidak membenarkan Anwar hadir di mahkamah semasa pemohonan pendengaran untuk merayu kesnya terhadap SPR.
Raus dan Zulkefli telah mengemukakan peletakan jawatan dan akan mengosongkan jawatan mereka pada 31 Julai.
Malaysiakini

No comments:

Post a Comment