Terdapat petunjuk baru dalam kes pembunuhan warga Mongolia Altantuya Shaariibuu, kata peguam Ramkarpal Singh.
"Kita ada pentunjuk baru, maksud saya ada cara pendekatan baru, bukti
yang akan diambil perkiraan dalam siasatan lanjut," kata Ramkarpal pada
sidang media di Putrajaya hari ini.
Ramkarpal enggan mengulas lanjut petunjuk yang dimaksudkannya, namun berkata ia adalah petunjuk baru dan lama.
Beliau berkata demikian selepas berjumpa Peguam Negara Tommy Thomas dan bapa Altantuya, Setev Shaariibuu.
Ketika perjumpaan itu, kata Ramkarpal, peguam negara sangat terbuka
untuk mendengar pendapat mereka berhubung pembukaan semula siasatan atau
penubuhan suruhanjaya siasatan diraja dalam kes berkenaan.
Jelas Ramkarpal,siasatan terbaru akan menumpukan motif pembunuhan yang tidak dibangkitkan di mahkamah sebelum ini.
"Kami yakin isu motif, dan hanya motif tentang siapa yang mengarahkan
pembunuhan akan diteruskan dan disiasat lebih lanjut agar pihak yang
bertanggungjawab akan dibawa ke muka keadilan," katanya.
Altantuya, 28, ditembak pada dan diletupkan menggunakan bahan letupan tentera di Kuala Lumpur, Oktober 2006.
Bekas komando polis Azilah Hadri dan Sirul Azhar Umar disabitkan
bersalah atas pembunuhan itu pada 2009 dan dijatuhkan hukuman gantung.
Mereka dibebaskan setelah mahkamah rayuan menolak keputusan hakim
Mahkamah Tinggi pada 2013.
Mahkamah persekutuan selepas itu mengekalkan hukuman mati terhadap
mereka pada 2015. Sirul melarikan diri ke Australia sementara Azhar
sedang menunggu hukuman.
Setev dan Ramkarpal akan berjumpa Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad esok bagi membincangkan kes itu secara lanjut.
Malaysiakini
No comments:
Post a Comment