(Ubah saiz teks)
KUALA LUMPUR - Parlimen Malaysia menafikan menyediakan menu sajian
mewah daging wagyu berharga RM2,000 kepada Ahli Parlimen pada perasmian
pembukaan Persidangan Parlimen ke-14 semalam.
Setiausaha Bahagian Komunikasi Korporat Parlimen, Tengku Nasaruddin
Tengku Mohamed berkata laporan yang dikeluarkan oleh seorang pengguna
media sosial dan ditular di laman sosial berhubung perkara itu adalah
sama sekali tidak tepat serta mengelirukan.
“Parlimen tidak pernah berbelanja mewah untuk tujuan tersebut.
Perbelanjaan adalah mengikut tatacara kewangan yang telah ditetapkan.
“Kadar kelayakan bagi majlis tersebut adalah RM120 untuk seorang tetamu
namun Parlimen hanya meluluskan RM50 untuk seorang bagi tujuan
tersebut, di mana jumlah keseluruhan kos hidangan meja utama seramai
lapan orang tetamu adalah RM400,” katanya dalam kenyataan di sini hari
ini.
Tengku Nasaruddin berkata menu daging wagyu yang telah ditularkan itu
merupakan menu tambahan yang disediakan pihak katerer bagi meraikan
pelantikan Yang Dipertua Dewan Rakyat yang baharu dan bukan dipesan oleh
pihak pengurusan Parlimen Malaysia.
Beliau berkata menu tersebut juga hanya disediakan di meja makan utama
untuk lapan orang tetamu dan tidak disajikan kepada semua jemputan.
Dalam pada itu, menurut Tengku Nasaruddin adalah menjadi keutamaan dan
amalan pentadbiran Parlimen Malaysia untuk memastikan bahawa tatacara
perolehan sentiasa dipatuhi sepenuhnya tanpa kompromi dalam semua
perolehan yang dilaksanakan.
“Parlimen Malaysia juga kesal dengan penyebaran isu berkaitan sajian
mewah tersebut kerana maklumat yang disampaikan tidak tepat sama sekali.
“Kami juga berharap isu ini tidak berpanjangan bagi menjaga imej dan
identiti Parlimen sebagai badan perundangan tertinggi negara,” katanya. -
Bernama
No comments:
Post a Comment