Pelarasan harga elektrik akan dijadikan alasan oleh peniaga untuk tidak menurunkan harga barang walaupun GST dihapuskan.
PETALING
JAYA: Harga elektrik baru akibat pelarasan mekanisme
kos tidak
berimbang (ICPT) akan menggagalkan usaha kerajaan
Pakatan Harapan untuk
mengawal harga barang.
Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli, berkata walaupun kerajaan cuba
sedaya upaya untuk meringankan beban rakyat dengan mengenakan surcaj
ICPT hanya kepada pengguna bukan domestik, perkara ini perlu diperhalusi
lagi.
Katanya, pelarasan harga elektrik yang berkuat kuasa 1 Julai ini
memberi kesan secara langsung kepada pengguna domestik dan bukan
domestik.
“Pengguna bukan domestik tidak lagi mendapat rebat sebanyak 1.52 sen
setiap kilowatt jam (kWj) yang digunakan, bermakna harga elektrik naik
1.52 sen setiap kWj.
“Pada masa sama, pengguna bukan domestik akan membayar surcaj ICPT
sebanyak 1.35 sen setiap kWj, menjadikan jumlah kenaikan tarif bersih
untuk pengguna bukan domestik adalah sebanyak 2.87 sen setiap kWj,”
katanya dalam kenyataan hari ini.
Rafizi berkata, pengguna domestik melebihi 300 kWj tidak lagi
menerima rebat 1.52 sen setiap kWj dan akan membayar tarif bersih yang
lebih tinggi.
Sementara itu, katanya bagi pengguna bukan domestik, kenaikan tarif
bersih sebanyak 2.87 sen setiap kWj adalah bersamaan dengan peningkatan
6.6% tarif asas B (perdagangan bervoltan rendah) yang diguna pakai
kebanyakan kedai dan peniaga.
“Saya bimbang kenaikan tarif bersih yang diumumkan ini akan
menyebabkan peniaga menggunakan alasan ini untuk tidak menurunkan harga
barang walaupun Pakatan Harapan telah menunaikan janji untuk
menghapuskan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST),” katanya.
Beliau berkata, tempoh antara Julai hingga akhir Disember akan datang
cukup penting untuk mengelakkan sebarang kenaikan tarif baru yang
ditetapkan, serta untuk meneliti reaksi peniaga dan industri terhadap
langkah menstabilkan harga barang yang telah dan akan dilaksanakan
kerajaan persekutuan.
“Jika GST dan kenaikan harga minyak mingguan dihapuskan, tetapi pada
masa sama tarif bersih elektrik naik, peniaga dan industri akan
menggunakan alasan ini serta pengenalan SST bermula September ini, untuk
tidak menurunkan harga barang kerana mengambil sikap ‘tunggu dan
lihat’.
“Ini juga akan melunturkan keyakinan rakyat kepada kesungguhan dan
keikhlasan Pakatan Harapan untuk mencari jalan terbaik membantu rakyat
yang menukar kerajaan persekutuan dengan harapan ia akan mengelakkan
kenaikan harga barang yang tidak wajar,” katanya.
Rafizi percaya kerajaan persekutuan boleh mempertimbangkan untuk
menangguhkan pelarasan ini hingga tahun depan untuk membolehkan kerajaan
mengkaji dahulu tindak balas peniaga dan industri terhadap
langkah-langkah kerajaan untuk menurunkan harga barang.
Bagaimanapun, untuk berlaku adil kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB)
yang menanggung kos bahan api lebih tinggi, beliau mencadangkan kerajaan
persekutuan berunding untuk mengambil beberapa tindakan seperti memberi
keutamaan kepada TNB mendapatkan kerja penjanaan elektrik baru.
Katanya, ini membolehkan TNB tidak terlalu terikat kepada perjanjian
jual beli elektrik dari penjana bebas serta mengkaji semula sebarang
perjanjian jual beli elektrik antara TNB dan penjana bebas yang
merugikan TNB.
Selain itu, katanya cadangan untuk menangguhkan kenaikan tarif bersih
elektrik akan dibawa ke mesyuarat biro politik PKR malam ini, supaya
perkara ini disuarakan oleh wakil parti itu dalam Kabinet.
No comments:
Post a Comment