SUBANG JAYA - Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari menganggap perebutan bagi jawatan Timbalan Presiden PKR di antara Rafizi Ramli dan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai satu persaingan sihat.

Menurutnya, persaingan sengit melibatkan kedua-dua calon berpengaruh dalam PKR itu adalah perkara biasa selain menyifatkan proses pemilihan kali ini berjalan dengan lebih matang.
“Tiada masalah, persaingan sengit itu adalah perkara biasa, persaingan dalam pemilihan kali ini juga dilihat berlangsung lebih baik, lebih matang.

“Namun, saya melihat beberapa tuduhan liar yang dilemparkan terhadap kem Mohamed Azmin dilihat tidak wajar berlaku. Diharapkan pemilihan kali ini dapat berjalan lancar tanpa sebarang masalah,” katanya

Beliau berkata demikian selepas hadir merasmikan Majlis Pelancaran Pelan Induk dan Forum Kelestarian Sumber Air Negeri Selangor, hari ini.
Mengulas lanjut keputusan minggu kedua di Selangor, Amirudin tidak menafikan Rafizi berjaya memberikan saingan namun beliau yakin negeri ini masih menjadi kubu kuat bagi Mohamed Azmin.
"Setakat ini, beliau (Rafizi) berjaya beri saingan di Selangor, perkara itu biasa. Ikut perkiraan, Rafizi masih ketinggalan di belakang Mohamed Azmin.

"Saingan itu bukannya disebabkan semata-mata faktor Rafizi berjaya merekrut ramai ahli baru, calon lain juga termasuk Mohamed Azmin juga berbuat demikian.
"Contohnya kita tengok pemilihan di Pahang baru-baru ini, yang dikatakan kubu kuat bagi Rafizi tetapi kemenangan berpihak kepada Mohamed Azmin," katanya.