Tuesday, October 23, 2018

Zahid berang ditanya soalan ambil cuti daripada Umno

FMT
 
PETALING JAYA: Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berang ketika ditanya kemungkinan beliau mengambil cuti daripada parti itu sementara menunggu perbicaraan 45 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram yang dihadapinya.

“Apa hak ‘you’ tanya soalan tu,” kata ketua pembangkang itu di lobi Parlimen hari ini.
Sabtu lalu, Pengerusi Jemaah Penasihat Umno, Tengku Razaleigh Hamzah berkata, jalan terbaik bagi Zahid ialah bercuti atau meletak jawatan kerana sebelum ini ada pemimpin tertinggi Umno berbuat demikian apabila didakwa ke mahkamah.

Katanya, Jemaah Penasihat Umno akan bermesyuarat dalam tempoh terdekat untuk membincangkan soal parti dan kedudukan Zahid sebagai presiden parti dan keputusannya akan dibentangkan kepada Majlis Tertinggi Umno untuk tindakan lanjut.
Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan sebelum ini dilaporkan berkata, sudah menjadi prosedur operasi standard (SOP) parti itu untuk pemegang jawatan tinggi mengambil cuti bekerja sekiranya didakwa di mahkamah.

Bagaimanapun, Setiausaha Agung Umno, Tan Sri Annuar Musa semalam berkata, parti itu tiada SOP untuk pemegang jawatan tinggi mengambil cuti jika menghadapi pertuduhan di mahkamah.
Jumaat lalu, Zahid mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas 10 pertuduhan pecah amanah, 8 pertuduhan rasuah berjumlah RM42,083,132.99 dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM72,063,618.15.

Bagi 10 tuduhan pecah amanah itu, Zahid sebagai pemegang amanah Yayasan Akal Budi, didakwa melakukan kesalahan itu menggunakan wang berjumlah RM20,833,132.99 milik yayasan itu yang diamanahkan kepadanya.

Sementara itu, Zahid menepis dakwaan Tun Dr Mahathir Mohamad yang Umno tidak wujud lagi kerana tersasar daripada matlamat asal untuk memperjuangkan agama, bangsa dan negara.
“Umno masih ada, nampak kan,” katanya mengulas kenyataan Dr Mahathir yang juga pengerusi PPBM semalam.

Ditanya cara untuk menangkis serangan perdana menteri terhadap Umno, Zahid berkata: “Tak apa, suka hati dia lah.”

No comments:

Post a Comment