
SUBANG JAYA: Polis memberi jaminan akan melakukan siasatan agresif
dan menangkap mereka yang terlibat dalam insiden kekecohan di Kuil Sri
Maha Mariamman di USJ25 di sini, yang menyaksikan 7 lelaki ditahan
sehingga 12 tengah hari ini.
Kesemua yang ditahan berusia lingkungan 30-an.
Selain memberi amaran supaya semua pihak mematuhi undang-undang dan
tidak mengambil tindakan sendiri, Ketua Polis Selangor Datuk Mazlan
Mansor meminta semua pihak bertenang bagi membolehkan polis meneruskan
siasatan.
“Siasatan sedang dibuat secara agresif dan tangkapan akan
dibuat,” katanya tegas, dan menambah bahawa siasatan melibatkan
perbuatan khianat dan merusuh.
Bercakap pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya di
sini, beliau berkata, 2 individu ditahan ketika mendapatkan rawatan di
Hospital Serdang pagi ini akibat tercedera dalam kejadian kira-kira
pukul 2.00 pagi ini.
“Sebanyak 18 buah kereta pelbagai jenis dan 2 buah motosikal turut
dibakar dalam kejadian tadi, sebuah kereta peronda polis rosak akibat
dibaling batu oleh perusuh,” katanya pada sidang media, yang turut
dihadiri Ketua Polis Daerah Subang Jaya, ACP Mohammad Azlin Sadari.
Mazlan berkata, kini keadaan di kawasan sekitar kuil kembali tenang
dan kira-kira 700 anggota polis terdiri daripada Unit Simpanan
Persekutuan dan beberapa unit lagi berkawal di sana,” katanya.
Tinjauan di sekitar lokasi mendapati keadaan tenang dengan kehadiran
anggota polis berkawal bagi mengawasi keadaan, susulan kekecohan yang
belaku awal pagi ini.
Jalan ke kuil berkenaan ditutup manakala polis trafik membuat kawalan
di jalan sekitar kawasan itu bagi membantu melancarkan aliran trafik
selepas berlaku kesesakan pada waktu puncak pagi tadi.
Tiada kelihatan orang ramai berkumpul di sekitar lokasi dan jalan
menuju ke kuil ditutup menggunakan kon bagi menghalang sebarang
kenderaan dan orang ramai mendekati kuil berkenaan.
Menjelaskan butiran insiden berkenaan, Mazlan berkata, pihaknya
menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada kira-kira pukul
2.45 pagi dan mengarahkan sebuah unit peronda untuk meninjau keadaan.
Namun, kereta peronda itu dibaling batu menyebabkan anggota polis berkenaan meminta pasukan bantuan dihantar ke lokasi.
Mazlan berkata, siasatan awal pihaknya mendapati rusuhan berkenaan
berpunca akibat provokasi antara 2 kumpulan yang berada di lokasi kuil
berkenaan.
“Kira-kira 50 individu lelaki berada di dalam pekarangan kuil
berkenaan dan sekumpulan lelaki lagi berada di luar kawasan kuil.
Berlaku caci mencaci antara mereka hingga membawa kepada rusuhan,”
katanya.

Berikutan itu, berlaku pertembungan di antara kumpulan berkenaan
hingga mencetuskan kekecohan di sekitar kuil selama kira-kira sejam dan
menyebabkan beberapa individu cedera sementara beberapa kereta dan
motosikal dirosakkan dan dibakar.
Polis masih menyiasat pemilik kenderaan berkenaan, kata Mazlan.
Beliau berkata, kekecohan itu dapat dikawal kira-kira pukul 5.00 pagi
oleh pasukan polis yang dikerahkan ke tempat kejadian, sementara
pasukan bomba yang dikerahkan bagi memadamkan beberapa kereta yang
dibakar.
“Pihak kami masih menyiasat tujuan 50 individu lelaki berkenaan
berada di dalam kawasan kuil, yang kemudian berlaku pertembungan antara
kedua-dua kumpulan dan satu kumpulan lelaki telah melarikan diri.
“Kami turut menjumpai beberapa bilah parang yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu,” katanya.
Mazlan meminta semua pihak bertenang dan memberi masa kepada pihak
polis untuk menyiasat kejadian itu dan tidak menularkan perkara yang
boleh menimbulkan ketegangan antara kaum di negara ini.
“Beri masa untuk kami siasat perkara ini, semua pihak perlu bertenang
dan jangan ambil tindakan sendiri, kami (polis) tidak akan teragak-agak
untuk mengambil tindakan terhadap siapa sahaja yang melanggar
undang-undang demi menjaga ketenteraman awam.
Sehingga kini, motif dan punca kejadian masih belum diketahui.
Terdapat desas-desus yang mengaitkan insiden berkenaan dengan isu
pemindahan kuil Sri Maha Mariamman.
Pada 28 Sept lepas, satu notis pengosongan dikeluarkan oleh Mahkamah
Tinggi Shah Alam yang mengarahkan penghuni kuil mengosongkan tapak pada
atau sebelum 15 Okt lepas.
Bagaimanapun, pada 25 Okt kira-kira 300 individu yang tidak bersetuju
kuil itu dipindahkan bertindak berkumpul di kuil berkenaan semasa
urusan pemindahan dijalankan.
Individu terbabit mahu kuil berkenaan yang didakwa dibina pada 1891 diselamatkan berdasarkan merit agama dan sejarah.
Pada 31 Okt lepas, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pemberdayaan dan
Pembangunan Sosio Ekonomi dan Kerajaan Prihatin, V Ganabatirau berkata,
dalam penghakiman persetujuan bertarikh 11 Mac 2014, 4 pihak terlibat
bersetuju memindahkan kuil itu dan menyerahkan kembali tapak kuil dalam
keadaan kosong kepada pemilik tanah.
Empat pihak terlibat dalam penghakiman berkenaan iaitu kerajaan
Negeri, pemilik tapak kuil berkenaan One City Development Sdn Bhd (One
City) serta 2 individu yang mendakwa pentadbir kuil berkenaan, K
Chellappa dan M Nagaraju.
Chellappa memfailkan bantahan terhadap usaha One City mengambil tapak kuil berkenaan pada 1996.
Dalam penghakiman persetujuan itu, One City bersetuju mendepositkan
wang RM1.5 juta kepada pihak kuil manakala kerajaan Negeri menyerahkan
tanah kira-kira 0.4 hektar (satu ekar) terletak kira-kira 3 kilometer
dari lokasi asal kuil untuk tujuan pemindahan kuil itu.
FMT
No comments:
Post a Comment