
KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk
Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad berkata kerajaan tidak mempunyai
kuasa untuk menghalang warga asing membeli hartanah di Forest City
kerana projek itu berada di bawah kerajaan negeri dan terletak di zon
antarabangsa.
“Tiada sekatan boleh dikenakan terhadap warga asing yang membeli
hartanah tersebut. Ini di luar bidang kuasa Kerajaan Persekutuan,”
katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan Khairy Jamaluddin (BN-Rembau), yang
bertanyakan sama ada kerajaan akan menghalang warga asing membeli
hartanah yang belum terjual di Forest City.
Raja Kamarul berkata kementeriannya membuat beberapa
inisiatif untuk menggalakkan warga tempatan membeli hartanah di kawasan
itu bagi mengelakkan rasa tidak puas hati dalam kalangan rakyat Johor.
“Kerajaan merasakan perlu adanya penilaian impak sosial supaya projek
itu tidak eksklusif,” katanya. “Kami menyedari zon eksklusif akan
melahirkan rasa tidak puas hati dalam kalangan penduduk tempatan.”
Projek Forest City berdepan ketidakpastian sejak kemenangan mengejut
Pakatan Harapan pada pilihan raya umum 9 Mei, di mana pemajunya, Country
Garden Holdings Co kelihatan cuba memulihkan permintaan yang goyah bagi
bandar yang dirancang untuk menjadi kediaman bagi 700,000 penduduk.
Rakyat Malaysia yang tinggal di Johor mengadu sejumlah besar warga
asing, terutama dari China, merampas hartanah di Forest City. Mereka
juga menyuarakan kebimbangan mengenai kerosakan alam sekitar, lebihan
dalam pasaran hartanah, dan kesan penambakan tanah ke atas perikanan.
Pada 27 Ogos, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata
Malaysia tidak akan membenarkan warga asing membeli unit kediaman di
projek itu.
Bagaimanapun, Country Garden kemudiannya berkata tidak ada larangan sedemikian di bawah undang-undang Malaysia.
FMT
No comments:
Post a Comment