Saturday, November 24, 2018

Tak munasabah anjur himpunan bantah ICERD, kata veteran tentera



Mohamed Arshad Raji berkata, khabar angin tersebar 
di media sosial ‘rusuhan akan berlaku disebabkan himpunan 
8 Disember itu’.
KUALA LUMPUR: Kumpulan veteran tentera berkata, tiada sebab untuk meneruskan himpunan membantah Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD), selepas Putrajaya memutuskan tidak akan mengesahkan triti global itu semalam.

Presiden Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot), Datuk Mohamed Arshad Raji berkata, penganjur bertegas meneruskan himpunan itu, tetapi kini untuk meraikan keputusan kerajaan tidak menerima ICERD adalah “tidak rasional dan tidak masuk akal”.

Beliau berkata, pihaknya mahukan keamanan dan sebarang tindakan serta kenyataan berbaur perkauman atau provokasi tidak boleh diterima.
Beliau memuji polis yang akan menyiasat pihak membuat ucapan dianggap berunsur provikasi dan ini akan menjadi amaran kepada orang lain tidak berbuat demikian.

“Kami percaya mereka yang membuat ucapan dan kenyataan kebencian yang tidak dikehendaki itu, tidak pernah melihat atau hidup dalam ketakutan ketika tempoh kegelapan dalam sejarah negara, iaitu rusuhan kaum pada 13 Mei 1969.

“Kebanyakan kami yang pernah melalui tempoh gelap itu tidak mahu menjadi menyaksikan kemusnahan dahsyat serta mayat dibakar bergelimpangan di jalan Kuala Lumpur lagi.

“Kami, ahli Patriot yang berkhidmat dengan angkatan tentera dan pasukan polis ketika tempoh getir dalam sejarah negara kita, adalah saksi kepada keadaan mengerikan itu.
“Atas sebab ini, kami menggesa penganjur himpunan anti-ICERD pada 8 Disember ini, yang pada dasarnya perhimpunan berasaskan Melayu, tidak meneruskan acara itu.”

Katanya, khabar angin disebarkan di media sosial “rusuhan akan berlaku disebabkan himpunan 8 Disember itu”.

“Disebabkan penganjur bertegas meneruskan himpunan itu, ditambah ketakutan orang ramai terhadap kemungkinan berlaku rusuhan akibat himpunan itu, Patriot menggesa ketua pasukan pertahanan tampil dengan pengumuman angkatan tentera akan menyokong polis, jika berlaku kejadian tidak diingini ketika himpunan itu.

“Pengumuman sedemikian akan memberi keyakinan kepada orang ramai yang keselamatan mereka dan negara terjamin.”

1 comment:

  1. Umno dan PAS cari peluang utk survival parti masing2 bukan sangat dgn isu Icerd ...Cari peluang berhimpun dgn bakar sentimen Melayu dan agama untuk tunjukkan ia masih terima sokongan Melayu....

    ReplyDelete