Tuesday, January 1, 2019

Anwar: Waspada tangan mahu curangi agenda reformasi

Malaysiakini 01/01/2019
   
Peralihan kuasa yang berjalan lancar selepas Pakatan Harapan (PH) memenangi pilihan raya umum Mei lalu mencerminkan kematangan rakyat Malaysia termasuk di kalangan penjawat awam, kata Presiden PKR Anwar Ibrahim.

Menurut Anwar peristiwa 9 Mei itu merupakan detik bersejarah buat rakyat Malaysia selain jarang sekali berlaku dalam konteks politik dunia.

Bagaimanapun kata Anwar kerajaan tidak harus berpuas hati dengan kemenangan tersebut, sebaliknya perlu terus menangani kebimbangan rakyat terutama golongan bawahan dan mendengar rintihan mereka.

"Kita tidak harus cepat berpuas hati, malah kita harus berwaspada dengan tangan-tangan yang mahu mencurangi agenda reformasi yang didambakan rakyat. Kerajaan harus terus mendengar rintihan rakyat.
"Jika kita benar-benar mendengar dan melihat, kita akan temui pelbagai kebimbangan dan keresahan di bawah," katanya dalam perutusan sempena Tahun Baru 2019.
Anwar memberikan contoh kajiselidik dalam kalangan 3000 pelajar yang menyatakan kebimbangan terhadap isu gaji rendah dan masalah pengangguran.
"Terdapat juga keresahan dalam kalangan nelayan, penoreh getah, dan buruh yang bekerja kuat demi sesuap nasi.

Pertahankan subsidi
"Ini juga menjadi sebab mengapa saya mempertahankan pemberian subsidi ketika perbahasan Belanjawan 2019 dan saya akan terus bekerja mempertahankan mereka yang terpinggir," kata anggota parlimen Port Dickson Situ.

Pendirian Anwar mengenai subsidi untuk rakyat itu ternyata tidak senada dengan pandangan perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad yang sebelum ini mengatakan subsidi hanya membuatkan rakyat "tidak mampu berfikir dan tidak boleh berdikari".


“Lihat saja kerajaan terdahulu, mereka memberi wang kepada golongan miskin dan golongan itu tidak perlu bekerja. Walaupun tidak bekerja,tetap mendapat RM500 (Bantuan Rakyat 1Malaysia).

“Jika Malaysia terus menjadi sedemikian, tidak lama lagi, semua orang tidak akan mampu berfikir, tidak boleh bergerak dan tidak boleh melakukan kerja dengan sendiri kerana terlalu bergantung kepada subsidi,” kata Mahathir pada Oktober lalu.

'Akan terus bersuara walau dikritik'
Selain cabaran dalam era digital, Anwar yang dinamakan Mahathir sebagai bakal penggantinya berkata kerajaan perlu memastikan Malaysia kekal dalam arus ekonomi dunia dan mendepani masalah perubahan iklim.

"Kerajaan Pakatan Harapan seharusnya fokus dan mendepani masalah-masalah ini secara bersama. Saya akan terus bersuara bagi pihak rakyat waima berdepan dengan risiko dikritik," jelasnya.

Anwar menegaskan fakta bahawa Malaysia merupakan negara yang dilimpahi pelbagai sumber dan aset tidak boleh disangkal oleh sesiapa.
"Namun aset yang teramat penting buat Malaysia adalah rakyat dan warganya yang pluralistik yang akan terus mendukung antara satu sama yang telah melalui segalanya bersama dan akan terus mendepani cabaran-cabaran mendatang," katanya.

No comments:

Post a Comment