KUALA LUMPUR: Polis sedang menyiasat penganjur himpunan sempena Hari
Wanita Sedunia yang turut disertai sekumpulan penyokong lesbian, gay,
biseksual dan transgender (LGBT) Sabtu lalu, kerana tidak mempunyai
permit, kata Menteri Dalam Negeri, Muhyiddin Yaasin.
Beliau berkata, pihaknya belum mendapat maklumat penuh berhubung siasatan ke atas himpunan itu.
“Bukan soal (kerajaan) tolak keras (himpunan disertai LGBT). Kalau
siapa nak berhimpun, kena ikut undang-undang, iaitu Akta Perhimpunan
Aman.
“Tetapi, saya dimaklumkan mereka berhimpun tanpa permit.
Kalau itu sekaligus telah melanggar peraturan dan kita serah pada polis
untuk siasat,” katanya selepas menghadiri Istiadat Pembukaan Mesyuarat
Penggal ke-2 Parlimen ke-14 hari ini.
Terdahulu, Timbalan Ketua Polis Negara, Noor Rashid Ibrahim
dilaporkan berkata, pihaknya akan memanggil penganjur himpunan itu yang
turut disertai penyokong LGBT.
Sabtu lalu, beberapa badan bukan kerajaan, termasuk Pertubuhan
Pertolongan Wanita (WAO), Sisters In Islam (SIS) dan aktivis LGBT
dilaporkan menyertai himpunan itu yang mendapat reaksi kurang senang
pelbagai pihak.
Antara tuntutan NGO terbabit ialah menghapuskan diskriminasi jantina,
menghentikan keganasan terhadap wanita dan kesaksamaan jantina.
Muhyiddin berkata, Malaysia ialah negara demokrasi dan setiap
warganegara tidak terkecuali daripada mematuhi undang-undang di negara
ini.
No comments:
Post a Comment