Sunday, January 16, 2022

Langkah terhormat adalah letak jawatan, kata Gomez pada ahli LPPR

 

1

Ahli Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah SPRM perlu letak jawatan dan dipertanggungjawabkan berhubung isu melibatkan pemilikan saham Azam Baki.

Perkara itu dinyatakan ahli ekonomi Edmund Terence Gomez, yang juga bekas ahli Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah SPRM.

Menurut Gomez, ahli LPPR telah mengakui tiada kuasa untuk membuat keputusan berhubung dakwaan terhadap Azam, sesuatu yang didakwa dilakukan panel pada November tahun lalu setelah mendengar penjelasan ketua pesuruhjaya SPRM itu berhubung saham yang dimilikinya pada 2015.

“Pada pandangan saya, perkara yang terhormat adalah untuk mereka letak jawatan.

“Kerana…mereka sendiri mengaku, mereka telah melakukan sesuatu yang sekarang mereka akui tidak patut dilakukan, atau tiada kuasa untuk melakukannya,” katanya kepada Malaysiakini.

Dalam sidang media pada 5 Jan lalu, Pengerusi LPPR Abu Zahar Ujang berkata Azam telah memberi penjelasan pada 24 Nov lalu berhubung pemilikan saham berjumlah dua juta.

Abu Zahar berkata, panel berpuas hati dengan penjelasan Azam - bahawa bahawa akaun trading miliknya digunakan oleh adiknya, Nasir Baki dan saham tersebut telah pun dipindahkan kepada Nasir.

Abu Zahar juga berkata mereka berpuas hati dengan penjelasan Azam bahawa dia tidak mempunyai manfaat kewangan mahupun konflik kepentingan dalam pemerolehan saham tersebut.

Bagaimanapun, tiga hari kemudian, enam ahli LPPR dalam kenyataan bersama menyangkal kenyataan Abu Zahar dan berkata ia hanya pendirian peribadinya.

Gagal sebagai semak dan imbang

Gomez menggesa ahli LPPR untuk menunjukkan minit mesyuarat 24 Nov tersebut agar orang awam dapat melihat apa yang berlaku.

“Adakah mereka bertindak secara wajar apabila isu ini mula dibawa ke mesyuarat pada 24 Nov?

“Jika, berdasarkan pengakuan mereka sendiri, mereka lakukan sesuatu yang mereka tahu di luar bidang kuasa, iaitu untuk memutuskan Azam tidak melakukan kesalahan, mengapa mereka melakukannya?

“Bukankah mereka patut dipertanggungjawabkan kerana berbuat demikian walaupun tiada kuasa?”

Mengulas lanjut, Gomez juga mempersoalkan bagaimana ahli LPPR dipilih.

Dia mendakwa ahli lembaga telah gagal melaksanakan tugas - iaitu sebagai mekanisme semak dan imbang untuk SPRM dan pengurusan tertingginya.

“Ini antara pengajaran yang kita dapat. Krisis ini menunjukkan mereka tidak berfungsi seperti sepatutnya,” katanya lagi.

No comments:

Post a Comment