OLEH ZULKIFLI SULONG, PENGARANG ANALISIS DAN RENCANA July 30, 2013
Tuan Ibrahim dan Mohamad Sabu...saling bantu membantu dalam PAS. - Gambar The Malaysian Insider oleh Timmy Say, 29 Julai, 2013.ANALISIS:
Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man sering kali mengeluarkan kenyataan tatkala
PAS dan Mohamad Sabu diserang bertubi-tubi, termasuk dalam isu Syiah.
Ketika kes Mat Indera yang dibangkitkan Mohamad satu ketika dulu, Ketua
Penerangan PAS itu juga antara pemimpin yang pertama mengeluarkan
kenyataan panjang lebar untuk mempertahan Mohamad.
Sejurus selepas kenyataan Tuan Ibrahim dikongsikan merata di Facebook,
ramai yang memberikan komen mengenai mengapa mereka kadang-kala melihat
Mohamad sebagai pro-Syiah.
Salah satu puncanya adalah mereka berkata di laman Facebook peribadi
Mohamad sendiri memberi gambaran yang terlalu “pro-Iran” menimbulkan
keraguan terhadap sifat Sunnah Wal Jamaah Mohamad.
Ada pula yang memberi komen bahawa tokoh yang digunakan dalam ceramah Mohamad menimbulkan kesangsian pada beliau.
Seorang komentar menulis:
“Ramai yang suka memandang pro-Iran ialah pro-Syiah. Tetapi itu satu
tanggapan yang salah pada Abang Mat. Abang Mat terkenal dengan sikap
lantangnya melawan Zionis Yahudi dan muslihat Amerika dan bonekanya.
Mana-mana sahaja negara Islam yang melawan Zionis Yahudi dan muslihat
Amerika dan bonekanya akan disokong Abang Mat, lantaklah Syiah ke Sunni.
"Tapi kebetulan negara yang banyak melakukan ke arah ini ialah Iran dan
Lebanon. Begitu juga dengan laman yang suka menyiarkan usaha negara
Islam melawan Zionis, akhirnya akan dituduh pro-Syiah atau pro-Iran
kerana kebetulan negara Islam yang banyak berjuang ke arah ini ialah
Iran dan Lebanon (Hizbullah) dan bukan mana-mana kerajaan Sunni. Yang
suka melihat masalah antarabangsa dari sudut Syiah dan Sunni ialah
mereka yang jahil agama dan tidak faham kemelut Islam di peringkat
antarabangsa.”
Pandangan itu nampak selari dengan kenyataan Datuk Seri Abdul Hadi
Awang yang dikeluarkan pada 18 Jun yang lalu apabila beliau menyuruh
umat Islam balik ke pangkal jalan untuk mengenali lawan dan kawan dalam
isu pertembungan Sunni-Syiah.
“Masalah cabang ajaran agama yang berbeza di kalangan empat mazhab dan
lain-lain di kalangan ahli sunnah dihidupkan kalangan masyarakat awam
yang cetek pengetahuan agamanya.
“Syiah Imam Khomeini dan Khaminaei yang membuat perubahan politik
daripada Syiah tradisi di kalangan Syiah, diantara Syiah Arab dan Syiah
Parsi di Iraq,” kata Abdul Hadi merujuk kepada pemimpin besar Iran
Ayatollah Ruhullah Khomeini dan penggantinya Ayatollah Ali Khamenei.
Di samping menyebarkan mazhab ini di kalangan umat Islam yang masih
jahil agama, bukannya menyebarkan dan menambahkan penyebaran Islam di
kalangan bukan Islam.
Semua ini adalah agenda melaga dan perintah atau penjajahan semula yang sepatutnya difahami oleh umat Islam.
Dalam kemelut yang begitu celaru, umat Islam perlu kembali ke pangkal
jalan, mengenali kawan dan lawan serta mengambil iktibar daripada
kesalahan lalu.
Ulama dan pemimpin di zaman keemasan umat Islam bersatu dalam perkara
rukun dan berbeza pendapat dalam masalah cabang sehingga tidak
memisahkan hubungan persaudaraan agama dan kemanusiaan berbagai agama
dan kaum dalam negara Islam yang luas dan besar.”
Dalam PAS, Mohamad dilihat memberikan sumbangan yang besar kepada PAS.
Sebagai timbalan presiden, ramai berpendapat beliau berjaya
melengkapkan perjuangan PAS sebagai sebuah parti massa di negara ini.
Apa yang tidak boleh dibuat oleh Abdul Hadi selaku presiden, berjaya dibuat dengan baik oleh beliau.
Pendek kata, kedudukan beliau menjadi pelengkap kepada keperluan PAS
dan Abdul Hadi untuk membawa PAS ke persada di mana rakyat Malaysia,
tanpa mengira bangsa dan agama, boleh menerima parti Islam itu untuk
menggantikan Umno.
Dengan potensi sedemikian, penulis tidak terkejut apabila Mohamad
berkata, sesetengah pihak dalam PAS dan sesetengah pihak dalam Umno
sedang berpadu tenaga untuk 'membunuh' beliau sekarang.
Apa pun, diharap Mohamad mengambil kira pandangan yang dilontarkan dan memahami mengapa timbul persepsi pro-Syiah pada beliau.
Tidak salah mendengar kerana hidup di dalam dunia politik sebahagian besarnya adalah untuk mengurus persepsi.
Mohamad sudah tentu memahami perkara ini. Kegagalan menguruskan
persepsi bakal membuka pintu kepada musuh-musuh Mohamad mengambil
kesempatan. Jika musuh berjaya, yang hanya boleh disalahkan ialah diri
sendiri yang memberi ruang kesempatan itu. – 30 Julai, 2013.
*Analisa ini dibuat dengan kerjasama Timmy Say.
*Sambungan daripada bahagian pertama disiarkan semalam.