-
Paklang menunjukkan Bukit Alor Berangan yang menjadi sempadan antara dua negara dan pernah dilalui nenek moyangnya terdahulu.
KANGAR - Kisah pelarian etnik Rohingya yang masuk ke negeri ini melalui
kawasan sempadan bukan satu fenomena asing bagi penduduk di Perlis.
Selain Wang Kelian dan kawasan Padang Besar, penduduk di sekitar Sungai
Batu Pahat dan Kuala Perlis juga turut menerima kedatangan tetamu tidak
di undang ini sekitar 15 tahun lalu.
Pembongkaran kubur besar dan kem Wang Kelian yang menggemparkan negara
baru-baru ini, mengimbau pengalaman berhadapan dengan etnik berkenaan
sejak dahulu lagi.
Takut buka pintu waktu siang
Bentuk muka bumi di sekitar Sungai Batu Pahat yang kelilingi bukit
antara faktor pelarian Rohingya mudah membolosi sempadan melalui laluan
berkenaan.
Seorang penduduk dikenali sebagai Paklang, 70, berkata, rumahnya yang
terletak kira-kira 500 meter dari Bukit Alor Berangan menjadi tumpuan
pelarian berkenaan pada tahun 2000.
Menurutnya, sebaik sahaja pelarian Rohingya turun dari bukit, kawasan
rumahnya akan menjadi laluan mereka sehingga menyebabkan dia dan isteri
takut untuk membuka pintu pada waktu siang.
“Bukan kerana kami takut diserang mereka cuma kami tidak mahu rumah ini
menjadi lokasi untuk pelarian ini berehat, sebab itulah saya akan
membiarkan mereka melepasi rumah saya terlebih dahulu sebelum menyusuli
mereka kemudian.
“Sebaik sahaja mengesan kehadiran pelarian Rohingya, saya akan terus
menghubungi polis. Apabila mereka berehat di kawasan lapang, saya dan
beberapa penduduk kampung yang lain akan memberikan minuman serta
makanan atas dasar kemanusiaan,” katanya.
Paklang berkata, ada antara pelarian Rohingya ini mampu berturut dalam Bahasa Malaysia.
Jelasnya, dia pernah diberitahu oleh pelarian itu, bahawa mereka mahu pergi ke Pulau Pinang untuk bekerja.
"Kalau tengok air muka pelarian terbabit, mereka seolah-olah gembira kerana menyangka sudah sampai di Pulau Pinang.
“Malah apabila trak polis sampai mereka kelihatan tersenyum dan seperti
menganggap polis itu sebagai orang tengah akan membawa mereka ke tempat
kerja,” katanya.
Ubah suai pondok penduduk
Kehadiran pelarian Rohingya sukar dikesan kerana bijak mengaburi mata penduduk kampung.
Paklang berkata, ada pelarian bertindak mengubah suai pondok milik penduduk bagi elak dikesan.
Menurutnya, pondok yang sebelum ini dibina tinggi diubah suai menjadi
lebih rendah menyebabkan penduduk kampung tidak menyedari kehadiran
mereka.
“Tetapi apabila saya melalui kawasan itu, saya rasa hairan dengan
keadaan dangau (pondok) yang semakin rendah, selepas diamati barulah
saya perasan ada pergerakan manusia agak ramai di situ.
“Selepas menghubungi polis, saya bersama penduduk dan anggota polis
menyerbu dangau itu menyebabkan kumpulan berkenaan lari bertempiaran,
tetapi kerana keletihan dan kelaparan semua pelarian tersebut dapat
ditangkap dengan mudah,” katanya.
Biarpun pelarian Rohingya menukar modus operandi melalui kawasan
sempadan di Wang Kelian, Padang Besar dan jalan laut sejak akhir-akhir
ini, Paklang tidak menafikan bukit itu sangat mudah didaki.
Paklang berkata, laluan bukit itu sudah dilalui nenek moyang terdahulu yang berhijrah ke Perlis.
"Ibu saya berasal dari Kampung Tanjung Gabus di wilayah Satun yang
terletak di belakang bukit ini, jadi orang terdahulu sudah mendaki bukit
berkenaan sejak dahulu lagi.
“Saya sendiri pernah berulang alik dari kampung tersebut melalui bukit
itu sewaktu muda dulu walaupun terpaksa memanjat bukit selama satu jam,
selepas sampai di sebelah sana saya akan menaiki sampan sebelum sampai
ke Kampung Tanjung Gabus,” katanya.
Paklang berkata, apabila sampai di sana, dia hanya perlu menemui naiban
iaitu ketua kampung untuk memberitahu kehadirannya dan akan pulang
semula ke Sungai Batu Pahat pada waktu petang.
“Oleh itu, apabila pelarian Rohingya melalui kawasan ini,
berkemungkinan ada tekong yang tahu mengenai laluan bukit tersebut
sebelum melepaskan mereka ke sini.
“Sekarang pelarian berkenaan sudah tidak berani melalui bukit itu
kerana dikawal ketat oleh anggota keselamatan, jadi kami berasa lebih
selamat,” katanya.
Tidak lari apabila ditahan
Sementara itu, penduduk di Kampung Wai, Kuala Perlis, Che Loh
Abdullah, 73, berkata, kali terakhir dia melihat pelarian Rohingya turun
dari bukit berdekatan kampung itu adalah pada tahun lalu.
Menurutnya, sebagai anggota Rela, dia aktif mengawasi kawasan kampung itu bersama beberapa anggota lain.
“Yang saya pelik, beberapa kali saya perasan segelintir pelarian
ditahan seperti orang yang sama pernah ditahan sebelum itu, tapi saya
diamkan sahaja kerana takut tersilap orang.
“Mereka turun dari bukit tanpa mengira masa, kadangkala waktu malam dan
ada kalanya waktu siang, mereka tidak pernah cuba melarikan diri
apabila ditahan kerana letih dan lapar," katanya.
Che Loh berkata, sebelum polis tiba penduduk kampung akan memberi mereka kopi dan roti.
Katanya, dia kini tidak lagi melihat kelibat pelarian Rohingya turun
dari bukit tersebut setelah mereka sering terkandas apabila sampai di
kampung itu.