(Oleh
Mohd Martin Kahar)
KUALA LUMPUR 26 Julai: Panel siasatan Pendengaran Awam Suruhanjaya
Hak Asasi Manusia (Suhakam) hari ini diberitahu, sekumpulan polis
berkumpul di hadapan Dataran Merdeka untuk mendengar taklimat sebelum
diarahkan memukul orang ramai pada perhimpunan Bersih 3.0, 28 April
lalu.
Saksi ke 16, Mohd Radzi Abdul Razak,
27, berkata, taklimat diberikan beberapa pegawai polis berpangkat
Assistan Superintenden (ASP) dan salah seorang daripada mereka dikenali
sebagai ASP Karthik.
Wartawan akhbar The Sun itu berkata, sebaik sahaja habis
mendengar taklimat, polis berpecah membentuk kumpulan kecil dan memukul
peserta yang memakai baju Bersih.
“Pada ketika itu, saya melihat polis berlari ke arah seorang warga
emas yang memakai baju Bersih dan terus memukulnya,” katanya depan tiga
panel siasatan yang dipengerusikan Naib Pengerusi Suhakam, Datuk Lake
Tee dan dibantu Pesuruhjaya Profesor Datuk Dr Mahmood Zuhdi Abdul Majid
dan Detta Samen.
Menurutnya, pada kejadian jam 6.30 petang itu, beberapa peserta cuba
merakam gambar keganasan polis tetapi dihalang dan diarah memadamkannya.
Radzi berkata, selepas keadaan menjadi kelam kabut, beliau berundur
ke Jalan Tunku Abdul Rahman.
Katanya, ketika sedang duduk berehat, sekumpulan tujuh anggota polis
menerpa ke arah beliau dan memukulnya.
“Saya jerit dan beritahu kepada polis saya adalah wartawan tetapi
mereka tidak mengendahkannya. Selepas beberapa minit, barulah mereka
berhenti memukul saya,” cerita Radzi.
Selepas dibelasah, polis melarikan diri dan beliau dihantar ke
Hospital Kuala Lumpur oleh paramedik.
Short URL: http://www.keadilandaily.com
No comments:
Post a Comment