Thursday, June 26, 2014

Isu anak: AG akan mohon gantung perintah mahkamah

26 Jun 2014
Peguam Negara akan memohon untuk menggantung pelaksanaan perintah mahkamah sivil dan mahkamah syariah dalam dua kes perebutan hak penjagaan anak yang menimbulkan konflik bidang kuasa kedua-dua mahkamah itu.

Peguam Negara Tan Sri Gani Patail juga akan memohon untuk mencelah dalam kedua-dua kes itu kelak "demi kepentingan awam" apabila ia dibicarakan.

"Jabatan ini akan memohon untuk mencelah dalam prosiding kedua-dua kes itu di peringkat Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi Syariah Seremban.

"Seterusnya ia juga akan memohon penggantungan pelaksanaan perintah-perintah yang dikeluarkan oleh kedua-dua Mahkamah Tinggi Sivil dan Mahkamah Tinggi Syariah terhadap pihak," katanya dalam kenyataan petang ini.

Kes yang dirujuk Gani melibatkan S Deepa dan bekas suaminya Izwan Abdullah atau nama asalnya N Viran di Seremban.

Mahkamah Tinggi Syariah Seremban pada 19 September 2013 memberi hak penjagaan dua anak mereka iaitu Nur Nabila binti Izwan @ Sharmila a/p Viran, 8 tahun dan Muhammad Nabil bin Izwan @ Mithran a/l Viran, 5 tahun kepada Izwan yang memeluk Islam.

Seterusnya, Mahkamah Tinggi Syariah pada 7 Oktober 2013 memerintahkan polis untuk membantu Izwan mendapatkan anak-anaknya.

Namun, Mahkamah Tinggi Seremban pada 7 April 2014 memberikan hak jagaan kepada S Deepa dan seterusnya pada 21 Mei 2014 mengarahkan polis mendapatkan kembali anak-anak tersebut daripada Izwan.

Satu lagi kes melibatkan Indira Gandhi dan Mohamad Riduan Abdullah @ K.Pathmanathan yang merebut tiga anak daripada hasil perkahwinan mereka sewaktu Riduan masih seorang Hindu.

Mahkamah Tinggi Syariah Ipoh pada 29 September memutuskan Riduan mendapat hak penjagaan ke atas anak-anaknya.

Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi Ipoh pada 11 Mac 2010 memerintahkan bahawa hak jagaan diserahkan kepada ibu mereka dengan akses munasabah sekali seminggu kepada bapa mereka.

Mahkamah sama juga pada 30 Mei 2014 memerintahkan polis mendapatkan anak-anak itu agar diambil semula dari bapa mereka.

Percanggahan arahan kedua-dua mahkamah itu menyebabkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar tidak mengambil tindakan.

Langkah itu yang disifatkannya sebagai 'jalan tengah' mengundang perdebatan hangat di kalangan khalayak, ahli politik dan pengamal undang-undang.

Senario ini, kata Gani, menimbulkan persoalan berhubung bidang kuasa Mahkamah Syariah dan Mahkamah Sivil khususnya melibatkan tafsiran Perkara 121(1A) Perlembagaan Persekutuan.

"Tindakan mencelah di Mahkamah Rayuan ini diambil bagi memastikan isu-isu yang berbangkit dalam kedua-dua kes ini dapat diselesaikan secara muktamad (once and for all), adil, aman dan harmoni menurut Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang yang berkuatkuasa," kata Gani lagi.Malaysiakini

No comments:

Post a Comment