Friday, November 7, 2014

Multaqa: Pemuda PAS Selangor sokong usaha istana

HARAKAHDAILY | .
KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor ingin menjunjung tinggi serta merafak sembah tahniah dan kegembiraan serta memberi sokongan penuh kepada pihak istana dan Jabatan Mufti Negeri Selangor atas menjayakan Majlis Multaqa Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Seminar Kanun Jenayah Syariah yang berlangsung pada hari ini.

Program penerangan Kanun Syariah Jenayah ini menampilkan Pehin Datu Seri Maharaja Dato Dr Ustaz Haji Awang Abdul Aziz Bin Juned selaku Mufti Kerajaan Brunei Darussalam sebagai pembentang utama.

"Patik dari Dewan Pemuda PAS Selangor amat mengalu-alukan program berbentuk ilmiah dan penerangan seperti ini apatah lagi melibatkan penganjuran dari pihak Istana Tuanku," ujar ketuanya, Syarhan Humaizi Halim dalam satu kenyataan.

Katanya, penglibatan Kesultanan Selangor dalam memartabatkan Islam telah mengimbau kenangan dari sejarah Kesultanan Selangor sendiri.

Dahulu, jelasnya Sultan Alauddin Sulaiman Syah adalah antara Sultan Selangor yang bertaraf ulama yang mampu mengarang kitab dan dibantu pula oleh seorang ulama besar Syeikhul Islam Selangor Tengku Mahmud Zuhdi Al-Fathani.

Tambanya, anakanda Sultan Alauddin Sulaiman Syah iaitu Sultan Hishamuddin Shah Al-Haj yang juga merupakan nenda kepada Sultan Sharafuddin pula turut menghadiahkan istananya di Kampung Jawa untuk dijadikan Kolej Islam Klang yang akhir diuruskan oleh Allahyarham Prof Dr Zulkifli Muhammad.

"Sebagai mewakili sebahagian Rakyat Selangor, patik sekali lagi merafak sembah tahniah kepada Baginda Tuanku Sultan Sharafuddin Idris Shah dan pihak istana atas kejayaan menganjurkan multaqa ini," ujarnya lagi.

Tegas Syarhan, beliau bersama anak-anak muda rakyat Tuanku menyokong penuh usaha istana yang mahu memartabatkan Islam dan segala isi syariatnya.

"Semoga kepimpinan Tuanku Sultan mendapat petunjuk dan pertolongan daripada Allah SWT atas usaha yang murni ini," katanya. - HARAKAHDAILY 6/11/2014

No comments:

Post a Comment