Saturday, September 12, 2015

Isu FAM: Zainal Abidin cabar, Khairy bidas balik

Malaysiakini 12/09/15
Kenyataan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang mencadangkan kemungkinan FAM digantung ternyata tidak disambut dengan mesra semua pihak.

Kali ini Timbalan Presiden Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia Zainal Abidin Hassan sendiri tampil mencabar Khairy mengambil tindakan itu segera terhadap FAM.

Selain menganggap kenyataan Khairy kebudak-budakanm Zainal juga menganggap menteri tersebut mencari publisiti murahan dengan kenyataannya.
"Publisiti murahan oleh Khairy itu memalukan kami yang bertugas bertungkus-lumus dan mencari rezeki melalui industri bola sepak.
"Semua orang tahu yang Khairy pernah menjawat jawatan tertinggi di FAM dan gagal mengendalikan pasukan beliau sendiri, My Team," kata Zainal dipetik dari Twitter Pahang FA, hari ini.

Ketika dihubungi Malaysiakini, Zainal mengesahkan kenyataan tersebut dan secara terbuka mencabar Khairy supaya menggantung badan induk bola sepak negara.

"Saya cabar beliau untuk menggantung FAM dalam masa seminggu ini," kata jurulatih Pahang itu.
Belajar undang-undang dulu
Sebelum ini Khairy yang juga Ketua Pemuda Umno menyatakan FAM mungkin akan digantung ekoran gagal mengawal insiden rusuhan di Stadium Shah Alam pada aksi kelayakan Piala Dunia 2018 dan Piala Asia 2019 antara Malaysia dan Arab Saudi, Selasa lalu. 

Terdahulu, ‎Khairy turut mengkritik prestasi skuad Harimau Malaya yang kalah teruk 0 - 10 kepada Emiriah Arab Bersatu.

Kekalahan itu turut membawa kepada perletakan jawatan jurulatih kebangsaan Dollah Salleh.

Dollah dan Zainal pernah bergandingan bermain untuk Pahang serta Malaysia.
Zainal turut menganggap tindakan penggantungan FAM akan menyebabkan implikasi buruk kepada bola sepak negara.

"Mungkin Khairy boleh selesaikan masalah rumput di (Stadium) Bukit Jalil dulu‎ kerana masalah yang amat besar ini beliau belum selesaikan sejak menjadi menteri," tambah bekas pemain kebangsaan itu.

Sementara itu, Khairy dalam akaun Twitternya kemudian menjawab kenyataan Zainal.
‎"Kalau nak gantung pun kena ikut undang-undang. Surat tunjuk sebab, jawab 14 hari, ikut prosedur dan lain-lain.
"Belajar undang-undang dulu," bidas Khairy.
Jumpa boleh, tapi...

Sementara itu, Khairy juga menyangkal pandangan Zainal yang menyifatkan beliau sebagai kebudak-budakan.
‎"Kalau Akta Pembangunan Sukan itu kebudak-budakan, dia kena salahkan Parlimen Malaysia kerana Parlimen Malaysia yang gubal undang-undang tersebut.

"Itu bukan saya cakap tapi termaktub dalam undang-undang‎. Jadi dia (Zainal) kata undang-undang Malaysia yang kebudak-budakan," kata beliau pada sidang media Hari Kayuhan Malaysia 2015 di Dataran Merdeka, malam tadi.

Mengulas hasrat Exco FAM untuk bertemu beliau, Khairy berkata, persatuan itu perlu menyelesaikan dulu jawapan kepada Pesuruhjaya Sukan mengenai insiden yang berlaku 8 September lalu.
‎"Memang saya nak jumpa mereka (FAM) tapi biarlah mereka menjawab kepada Pesuruhjaya Sukan.
"Prosedurnya mereka ada 14 hari untuk menjawab dan selepas itu adalah ruang untuk saya berjumpa selepas keputusan oleh Pesuruhjaya Sukan," jelas Khairy.

No comments:

Post a Comment