Monday, December 14, 2015

10 beranak tinggal dalam tandas



10 beranak tinggal dalam tandas
Tempat memasak dijadikan tempat tidur bagi keluarga Sitah.




GUA MUSANG - Sepasang suami isteri bersama lapan anaknya terpaksa tinggal dalam tandas di tapak rumah lama mereka di Kampung Limau Kasturi, dekat sini, selepas rumah mereka dihanyutkan banjir besar pada penghujung tahun lalu.
Selepas kejadian itu, hanya tandas dan bilik air yang dibina daripada simen tidak dihanyutkan arus deras, namun berlaku rekahan kecil.

Nasib mereka tidak pernah mendapat perhatian pihak berkenaan untuk datang membantu terutama membina semula rumah sebagai kediaman kekal di kawasan kampung berkenaan.
Lantaran itu, mereka terpaksa tinggal di dalam tandas berkenaan dengan membina semula dinding dan atap daripada papan dan zink terbuang yang dikutip di merata tempat selepas kejadian banjir itu.

Tiada pilihan
Sitah Yaakob, 51, berkata, mereka sekeluarga tiada pilihan setelah hilang tempat tinggal, selain membina semula tempat tinggal sementara dalam kawasan tandas di tapak rumah lama.
Katanya, walaupun tidak selesa dan bersesak, namun masalah itu terpaksa dihadapi berikutan belum mendapat sebarang bantuan bagi membina semula rumah yang roboh dihanyutkan banjir.
“Kami tidak mampu untuk membina semula rumah kerana saya tidak bekerja, manakala suami hanya memperoleh pendapatan RM1,200 sebulan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Limau Kasturi, di sini, semalam.

Anak tidur bersesak atas lantai
Sitah berkata, kadang kala dia menitiskan air mata apabila melihat anak-anak terpaksa tidur bersesak atas lantai yang beralasan tikar getah kerana tidak mempunyai bilik terutama anak gadisnya yang sudah remaja.

Katanya, mereka sekeluarga buntu memikirkan untuk mengatasi masalah itu dan terpulanglah kepada orang ramai untuk membuat penilaian kerana mereka juga menghadapi masalah serupa.
Tambahnya, pendapatan suami, Idris Deraman, 52, yang bertugas sebagai kerani di sebuah sekolah rendah di bandar ini juga sekadar cukup untuk perbelanjaan makan mereka sekeluarga dan keperluan lapan anaknya termasuk tiga yang masih belajar.
“Pendapatan suami tidak cukup untuk membina rumah baharu di kawasan tebing Sungai Galas ini,” katanya.

Jelasnya, selepas kejadian banjir besar itu mereka pernah menerima bantuan wang daripada pelbagai pihak, tetapi wang itu digunakan untuk perbelanjaan membeli pakaian dan peralatan rumah.
“Kami tak ada tapak kekal untuk tempat tinggal dan terpaksa bina rumah sementara di tanah rizab sungai yang terdedah kepada kejadian banjir pada musim tengkujuh ini.
“Kami tidak pernah bermimpi untuk hidup terdesak sebegini, namun selepas kejadian banjir besar menyebabkan kami 10 beranak tinggal sehelai sepinggang,” katanya.

Pasang khemah dalam rumah sementara
Selain itu, kata Sitah, dia juga terpaksa memasang sebuah khemah dalam rumah sementara itu sebagai tempat berlindung ketika hujan kerana atap bocor.
“Apabila hujan.. anak saya masing-masing mencari tempat berlindung dari terkena air hujan, terutama ketika musim tengkujuh ini,” katanya.

Menurutnya, ketika banjir besar yang lalu mereka terpaksa berpindah ke pusat pemindahan disediakan sebelum pulang dan tinggal di bangunan lama Sekolah Kebangsaan (SK) Limau Kasturi.
“Selepas itu kami terpaksa pulang ke tapak asal rumah lama yang dihanyutkan banjir dengan membina semula dinding dan atap secara pertahan-lahan hingga menutup semuanya selama tiga bulan.
“Itupun nasib baik dua anak kami sudah berumah tangga dan tinggal berasingan, jika tidak mungkin keadaan bertambah sesak apabila tinggal dalam ruangan sempit ini,” katanya.

No comments:

Post a Comment