Ia disebabkan kebenaran tidak akan dapat ditutup
dengan kepalsuan, skandal melibatkan pemimpin tertinggi negara akan
terus didedahkan.
PETALING
JAYA: Parti Keadilan Rakyat mendesak kerajaan segera menamatkan sekatan
terhadap laman berita The Malaysian Insider (TMI) tanpa syarat.
Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dalam satu
kenyataan hari ini mengecam tindakan itu dan menyifatkannya sebagai satu
lagi langkah terdesak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk
“membisukan” media bebas.
“Ini adalah satu lagi kes penyalahgunaan kuasa eksekutif dalam
senarai panjang pencabulan Perlembagaan oleh kerajaan untuk menundukkan
organisasi media bebas.
“Dengan siri tindakan terdesak lain seperti pendakwaan terhadap
suara-suara penentangan, penggunaan kuasa polis untuk menakutkan
wartawan, tindakan sewenang-wenangnya Peguam Negara untuk menghentikan
siasatan terhadap Perdana Menteri, apa yang kita saksikan adalah
gangguan kepada proses demokrasi yang akhirnya akan merosakkan negara.
“Kami mengingatkan Najib bahawa rakyat tidak akan diperbodohkan
kerana kebenaran tidak akan dapat ditutup dengan kepalsuan, skandal
melibatkan pemimpin tertinggi negara akan terus didedahkan,” kata
Menteri Besar Selangor itu.
SKMM menerusi kenyataannya menjelaskan, sekatan terhadap TMI dibuat
di bawah Seksyen 263(2) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 atas sebab
melanggar Seksyen 233 akta yang sama, berhubung penggunaan tidak wajar
kemudahan rangkaian.
Badan itu juga memberi amaran kepada laman berita yang lain agar
tidak menyiarkan laporan yang tidak ditentukan kesahihannya kerana boleh
“mengundang kekeliruan dan mencetuskan situasi yang tidak diingini”.
No comments:
Post a Comment