Penternak mengeluh selepas tiada apa yang boleh dilakukan selain berhadapan kerugian akibat hasil ternakan yang mati.
PETALING JAYA: Fenomena panas melampau mengakibatkan lebih 800 ekor
ayam mati di seluruh Selangor sekali gus menjejaskan kadar pengeluaran
dan meningkatkan harga jualan.
Pengerusi Persatuan Penternak Ayam Negeri Selangor, Datuk Ishak Mat
Arif berkata penternak mengeluh selepas tiada apa yang boleh dilakukan
selain berhadapan kerugian akibat hasil ternakan yang mati.
“Ternakan mati dalam tempoh antara lima hingga lapan hari sebelum
cukup matang untuk dibekalkan. Bayangkan jumlah kerugian yang dialami
penternak sekiranya 800 ayam mati setiap hari.
“Melalui pengamatan saya, industri penternakan ayam di negara kita
tidak pernah mengalami masalah seperti ini. Kami jangka kadar
pengeluaran ayam akan terus merudum sekiranya cuaca panas berlarutan,”
katanya seperti yang dilaporkan Utusan Malaysia, hari ini.
Sebelum itu, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri
Ahmad Shabery Cheek menyatakan cuaca panas menyebabkan ayam mengalami
stres sekali gus menyebabkan proses tumbesaran terbantut.
Katanya, keadaan itu juga menyebabkan pengeluaran ayam berkurangan
antara lima hingga 10 peratus dan kerajaan bersedia mengimport ayam
sekiranya bekalan dalam negara tidak mencukupi menjelang bulan Ramadan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif APC Nature Farm Sdn. Bhd,
Mohd. Afiq Arif berkata, pihaknya telah memberhentikan operasi menternak
ayam buat sementara waktu dan akan hanya menternak semula apabila cuaca
kembali normal.
“Pengeluaran ayam di kebanyakan tempat mengalami masalah kerana cuaca
panas yang turut menyebabkan ternakan mudah terkena penyakit.
“Ternakan ikan juga mengalami masalah yang sama, saya terpaksa
membuat pemindahan ikan ke dalam tangki berlainan bertujuan mengawal
suhu air untuk ikan serta mengelakkan ia mati,” katanya
No comments:
Post a Comment