Ini bagi mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap UMNO dan sebagai persediaan menghadapi PRU14
PETALING JAYA: Seorang pemimpin cawangan UMNO Kedah mengusulkan
supaya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dilucutkan jawatan sebagai
Presiden UMNO dan keahliannya.
Usul itu dibuat Ketua Cawangan Bukit Aping dari UMNO Bahagian
Kulim-Bandar Baharu yang hanya dikenali sebagai Rohaya baru-baru ini.
Dalam usul itu, Rohaya berkata kepercayaan ahli UMNO terhadap parti
itu semakin berkurangan berikutan skandal yang melanda Najib.
“Pengurusan dan pentadbiran parti telah dicemari dan dibelenggu
dengan pelbagai masalah. Ini telah menghakis keyakinan ahli parti
terhadap UMNO,” katanya dalam satu video yang dimuat naik di laman
portal ismaweb.net.
Pada masa sama, Rohaya turut mendesak Majlis Tertinggi UMNO supaya
melaksanakan pemilihan Agung 2016 yang sepatutnya dibuat pada bulan Ogos
ini.
Katanya, desakan itu dibuat bagi memulihkan kepercayaan rakyat
terhadap UMNO dan sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14
(PRU14).
Sebelum ini, beberapa pemimpin UMNO telah mengusulkan Najib supaya
berundur daripada jawatannya sebagai Perdana Menteri dan Presiden UMNO,
menyusuli skandal berkaitan 1MDB dan derma politik RM2.6 bilion.
No comments:
Post a Comment