Jeniri Amir menyifatkan rombakan hari ini langkah Najib mengukuhkan kedudukan Barisan Nasional menghadapi PRU akan datang.
PETALING JAYA: Pensyarah Universiti Malaysia Sarawak (Unimas)
Profesor Madya Jeniri Amir menyifatkan tiadanya menteri baru dari
Sarawak dalam rombakan Kabinet diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri
Najib Razak hari ini sebagai mengecewakan.
Apatah lagi selepas Barisan Nasional (BN) Sarawak mencapai kemenangan
besar pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Mei lalu, kata penganalisis
politik itu lagi.
“Berdasarkan kuota, sepatutnya pemimpin dari Sarawak yang
menggantikan Datuk Seri Douglas Uggah Embah (yang bersara), lebih baik
lagi jika pengganti itu pemimpin Dayak daripada Parti Pesaka Bumiputera
Bersatu.
“Kecewa adalah sentimen di sini (Sarawak) yang mengharapkan ada
penambahan menteri daripada Sarawak. Tetapi (rombakan) seperti tidak
mengiktiraf pencapaian cemerlang BN Sarawak pada PRN lalu,” katanya
ketika dihubungi.
Beliau berkata ramai yang menjangka Timbalan Menteri Kemajuan Luar
Bandar dan Wilayah Datuk Alexander Nanta Linggi dinaikkan pangkat
menjadi menteri penuh berdasarkan kuota negeri, namun perkara itu tidak
berlaku.
Selain tiada penambahan menteri, negeri itu juga kehilangan satu
kedudukan menteri apabila portfolio Perusahaan, Perladangan dan Komoditi
yang dipegang Ahli Parlimen Betong, Datuk Seri Douglas Uggah Embah,
digantikan dengan Presiden Gerakan, Datuk Seri Mah Siew Kiong.
Dalam rombakan yang diumumkan Najib tadi, Datuk Abdul Rahman Dahlan
dilantik Menteri di Jabatan Perdana Menteri mengetuai Unit Perancang
Ekonomi (EPU), manakala portfolio terdahulu beliau – Kesejahteraan
Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan – dipegang Tan Sri Mohamad Nor
Omar yang kembali ke Kabinet.
Jeniri menyifatkan rombakan hari ini langkah Najib mengukuhkan kedudukan kerajaan bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.
“Kedudukan strategik diberikan kepada orang yang setia kepadanya
seperti Noh dan Rahman. Ini strategi beliau menghadapi PRU akan datang,
termasuk merampas kembali Selangor daripada pembangkang,” katanya
merujuk kepada kedudukan Noh selaku pengerusi BN Selangor.
Beliau berkata, hakikat tiadanya tambahan menteri dari Sarawak sudah
dimaklumi Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem dan tidak akan mengeruhkan
hubungan antara kerajaan negeri dan persekutuan.
“Hal ini pasti sudah dibincangkan kedua-dua pihak. Saya fikir Adenan sudah tahu,” katanya lagi.
No comments:
Post a Comment