6/1/17
Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara dari DAP, Tony Pua hari ini
mendakwa Malaysia kini 40 peratus lebih miskin dalam nilai dolar Amerika
Syarikat (AS).
Beliau yang juga pengerusi DAP Selangor berkata, ia dapat dilihat
melalui kenaikan harga barang dan perkhidmatan termasuk harga petrol
memandangkan minyak didagangkan di peringkat antarabangsa dalam matawang
dolar.
“Bagi kita rakyat Malaysia, mungkin sudah tiba masanya untuk menerima
kejatuhan ringgit ini sebagai kebiasaan. Kita telah kehilangan kekayaan
lebih daripada 40 peratus dalam nilai dolar AS.
“Satu-satunya cara untuk Malaysia berubah adalah dengan memilih rejim
baru. Rejim baru ini harus membersihkan negara dari reputasi
kleptokratik dan menghancurkan sisa korupsi yang ada dalam kerajaan.
“Ia memerlukan satu pasukan ekonomi baru dan pintar yang tidak akan
terbeban dengan keputusan-keputusan dari pihak yang terdesak mahu
mengekalkan kuasa,” tegas beliau, memetik laporan Roketkini.
Semalam, ringgit menjunam ke paras terendah baru iaitu RM4.5002
berbanding dolar Amerika Syarikat sejak krisis kewangan Asia 1998.
Ringgit mencecah titik terendah pada nilai RM4.88 berbanding AS$1 pada bulan Januari 1998.
Perdana menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad kemudiannya memutuskan ringgit ditambat pada kadar RM3.80 berbanding dolar.
BMI Research pula meramalkan ringgit yang menunjukkan prestasi tidak
memberangsangkan di kalangan matawang lain di rantau Asia sepanjang
tahun lalu dijangka akan menurun lagi.
Salah satu punca kejatuhan tersebut ialah matawang tempatan sangat
terkesan dengan sebarang pergerakan yuan yang diramal kekal di bawah
tekanan menurun.
Mengulas lanjut, Pua berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak
terus menafikan keadaan kritikal ekonomi negara apabila pada Disember
lalu menyatakan bahawa nilai ringgit akan meningkat.
Tambah Pua, kenyataan Najib itu adalah ‘deja vu’ dengan skrip yang diulang-ulang sejak 2015.
“Perdana Menteri memberitahu kita pada Januari 2015 bahawa ringgit
akan melonjak naik memandangkan ‘pasaran kewangan Malaysia semakin
teguh.’
“Tetapi kini, kita boleh lihat parasnya semakin rendah. 2016
merupakan tahun keempat ringgit melemah berbanding dolar AS,” jelas Pua
lagi.
No comments:
Post a Comment