Bersih 2.0 menghantar surat memohon status penolong pendaftar pemilih kepada SPR pada 28 Februari lalu
KUALA LUMPUR: Bersih 2.0 bulan lepas memohon status penolong
pendaftar pemilih (ARO) daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), bagi
membolehkan badan itu mendaftarkan rakyat sebagai pengundi.
Pengurus Sekretariat Bersih Mandeep Singh memaklumkan surat permohonan dihantar kepada SPR pada 28 Februari lalu.
“Kami boleh membantu SPR untuk mendaftarkan mereka yang layak sebagai
pengundi,” katanya kepada pemberita ketika kempen daftar mengundi
anjuran NGO itu hari ini.
“Setakat ini belum ada maklum balas tetapi kita akan membuat susulan minggu depan,” katanya kepada FMT.
Semalam Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) memaklumkan setakat
Februari lalu, sejumlah 4.1 juta warga Malaysia yang layak mengundi
belum berdaftar sebagai pengundi, dengan majoritinya golongan muda
sekitar 21 tahun.
Beliau berkata, kenyataan tersebut memberikan lebih sebab kepada SPR untuk meluluskan permohonan Bersih.
“Kami boleh membuat mobilisasi di seluruh negara bagi proses pendaftaran,” katanya lagi.
Menurut laporan Sinar Harian Online hari ini, Pengerusi SPR, Datuk
Seri Hashim Abdullah berkata mereka tidak boleh berbuat apa-apa selain
“memberi galakan” kepada mereka yang tidak mendaftar sebagai pengundi,
walaupun layak berbuat demikian.
Peguam terkemuka Datuk S Ambiga turut menggesa SPR memberikan status
ARO kepada Bersih, meningkatkan kempen kesedaran dan memudahkan lagi
proses pendaftaran orang ramai.
“Jika pengerusi SPR benar-benar risau, beliau perlu ambil tindakan segera,” katanya.
Bersih sebelum ini pernah mengecam SPR kerana tidak menyambung status
ARO dan menyekat proses pendaftaran ARO dari NGO dan parti politik pada
hujung 2013, menyebabkan jumlah pengundi baru turun mendadak untuk suku
pertama tahun berikutnya
No comments:
Post a Comment