Malaysiakini 19/8/17
"Apabila anda masuk, perkara pertama yang menyerang anda adalah
baunya," kata Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia
(Suhakam) berhubung lawatan beliau ke lokap polis Ayer Molek di Pulai,
Johor.
"Terdapat bau hapak dan bau badan yang sangat busuk.
"Tahanan memakai baju lokap yang tidak selalu dibasuh. Mereka
sepatutnya memiliki tiga helai baju bagi setiap seorang tetapi kami
diberitahu ia tidak cukup," kata beliau kepada Malaysiakini.
Rabu lalu, suruhanjaya itu mengeluarkan kenyataan keras menyorot
keadaan 'tidak berperi kemanusiaan' yang perlu dihadapi oleh 180 orang
tahanan lelaki di lokap tersebut.
Asalnya bertujuan untuk lokap sementara, ia kekal beroperasi sejak
2009 dan mengambil sebahagian bangunan penjara Ayer Molek yang dikatakan
berusia 100 tahun.
Penjara tersebut telah ditutup dan berpindah ke Simpang Renggam, Kluang bulan Jun lalu.
Selain bau busuk, Joseph berkata beliau terperanjat apabila mendapat
tahu para tahanan sukar untuk mendapatkan kemudahan air minuman bersih.
"Tidak ada air minuman bersih disediakan di dalam sel-sel tersebut.
"Tahanan hanya mendapat sebungkus air, tiga kali sehari apabila
pembekal makanan datang untuk membawa bungkusan makanan," jelas beliau.
'Keadaan lokap menyeksakan'
Dilaporkan sebelum ini belanja harian untuk setiap tahanan bagi kesemua tiga hidangan tersebut berjumlah RM8.
Berdasarkan pemerhatian beliau terhdapat sehingga sepuluh tahanan di
dalam satu-satu sel, paling besar berukuran 7 meter x 7 meter.
"Banyak sel memiliki lantai yang kotor dan pelantar kayu di beberapa
sel telah reput. Pada setiap sel terdapat tandas 'terbuka'. Beberapa
orang tahanan juga kelihatan sangat sakit," kata beliau lagi.
Tahanan biasanya menghabiskan lima hari di lokap tersebut sebelum didakwa atau dibebaskan mahkamah.
Namun, kata Joseph warga asing yang ditahan kerana kesalahan imigresen boleh ditahan di Ayer Molek sehingga dua minggu.
"Hanya dengan melalui keadaan tersebut ia telah menjadi penyeksaan, malah polis sendiri tidak mahu berada di situ.
"Ia tidak sesuai untuk didiami manusia," tegas beliau.
Dilaporkan sebelum ini para pegawai polis yang bertugas di lokap
tersebut telah membeli sendiri topeng muka dan sarung tangan bagi
menghalang jangkitan batuk kering (tuberculosis) dari tahanan yang menderita penyakit tersebut.
Lawatan Suhakam pada 31 Julai lalu ke lokap tersebut mendapati tidak
ada pegawai perubatan ditempatkan di situ walaupun ia merupakan
peraturan di bawah Akta Peraturan-peraturan Lokap dan Penjara 1995.
Para pegawai polis memberitahu Joseph mereka telah memberitahu isu
tersebut kepada pegawai atasan tetapi diberitahu tidak ada peruntukan
belanjawan bagi memperbaiki keadaan lokap.
Timbalan menteri dalam negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed telah
dilaporkan membidas laporan Suhakam berkenaan Ayer Molek sebagai "sudah
lapuk."
Nur Jazlan yang juga MP Pulai berkata penjara tersebut telah lama
ditutup setelah kementeriannya mendapat laporan keadaan buruk di sana.
"Saya fikir beliau perlu mendapat maklumat yang dikemaskini. Kami bercakap tentang lokap di sini, bukan penjara," kata Joseph.
No comments:
Post a Comment