Wednesday, September 6, 2017

Cukuplah Salleh, DAP mana mungkin kuasai kerajaan, kata Zaid

 | September 6, 2017
Tak mungkin orang waras akan percaya DAP melalui 60 daripada 222 kerusi Parlimen mampu menguasai kerajaan, kata bekas menteri.
salleh-keruak-bendera-dap-zaid-ibrahim 
PETALING JAYA: Datuk Zaid Ibrahim mencemuh Datuk Seri Salleh Said Keruak kerana masih lagi mengulangi cerita DAP akan menguasai kerajaan jika Pakatan Harapan menang pilihan raya umum akan datang.

Menyifatkan cerita itu sebagai tidak berasas, bekas menteri itu berkata kenyataan bendahari Umno kononnya DAP melalui 60 daripada 222 kerusi Parlimen mampu menguasai kerajaan boleh “mengelirukan orang yang lemah akal”.
“Tak mungkin orang yang waras akan percaya cerita 25% penduduk minoriti boleh menguasai 65% penduduk majoriti secara politik dalam sebuah negara demokrasi seperti Malaysia?” kata Zaid di blog hari ini.

“Jawapan sebenarnya terletak pada psikologi pimpinan Umno sekarang ini.
“Semasa muda dan atau di sekolah atau dalam taklimat kader politik, mereka dibasuh otak sehingga percaya ancaman sebenar kepada kuasa dan kesejahteraan mereka ialah orang Cina yang bukan bersama MCA.
“Mereka diberitahu Cina MCA bukan ancaman kerana mereka cuba mengikut kehendak Umno tanpa soal, tidak seperti Cina DAP,” kata Zaid, yang menambah orang Melayu perlu sedar musuh sebenar ialah golongan yang diberi terlalu banyak kuasa.

Beliau mendakwa orang Melayu sedar bahagian ekonomi mereka lebih kecil sekarang ini berbanding semasa negara di bawah pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad, meskipun Umno menguasai Barisan Nasional selaku komponen utama.
“Ini menunjukkan kuasa politik disia-siakan oleh pemimpin yang tidak tahu bagaimana memperkasakan masyarakat.”

Menyentuh isu dakwaan menghilangkan legasi Dr Mahathir, Zaid berkata kemampuan itu menunjukkan betapa berkuasanya orang Melayu sehingga mampu menyemak dan mengubah sejarah negara.
Beliau berkata orang Melayu yang memimpin negara sekarang ini hanya suka menangani permasalahan mudah.

“Orang Melayu suka bercakap mengenai agama kerana bercakap itu kerja mudah. Menghakimi orang lain juga kerja mudah. Menjadikan perbezaan pendapat suatu jenayah juga kerja mudah.
“Tetapi apa manfaatnya kepada orang Melayu?
“Sebaliknya, menambahbaik kehidupan rakyat bukan kerja mudah. Memberikan pendidikan sebaiknya kepada orang Melayu bukan kerja mudah.
“Mengubah tabiat dan sikap orang Melayu terhadap pekerjaan dan menjadikan mereka jujur dan boleh dipercayai bukan kerja mudah,” kata Zaid, mengingatkan Salleh apa gunanya kuasa politik yang digunakan untuk memusnahkan orang Melayu.

“Dalam erti kata lain, membangunkan masyarakat yang berdikari dan makmur perlu bekerja kuat.
“Kamu sudah mempunyai lebih daripada apa yang cukup untuk melakukan kebaikan, jadi mengapa ambil jalan mudah dan menghentam parti saya sedangkan tindakan kamu itu langsung tidak menambahbaik kehidupan orang Melayu?” katanya.

Zaid mengajak Salleh berdebat mengenai isu sebenar yang mengancam orang Melayu.
“Mari bincang isu sebenar: pendidikan, pekerjaan, gaji dan kerjaya.
“Kamu boleh tetapkan butirannya, seperti lokasi debat, dan saya akan turun.”

No comments:

Post a Comment