Mereka berhak menyuarakan pendapat walaupun sesetengah pihak tidak menyenanginya, kata Salahuddin Ayub.
PETALING
JAYA: Tidak kira apa isinya, hak akar umbi menyuarakan pendapat mereka
mesti dihormati, beritahu Timbalan Presiden Amanah kepada pemimpin PKR
Zuraida Kamaruddin.
“Kita perlu hormati apa saja pandangan usul dibawa oleh mereka daripada akar umbi tanpa mengira parti mereka.
“Hormati hak demokrasi mereka walaupun kamu tidak menyenangi apa yang
dikatakan mereka. Setiap parti percayakan konsep ini, bukan sahaja
Amanah,” katanya semasa dihubungi hari ini.
Zuraida yang baru dilantik sebagai setiausaha Pakatan Harapan
Selangor, semalam mengkritik seruan Amanah kepada Menteri Besar Selangor
Mohamed Azmin Ali mempertimbangkan semula kedudukan PAS dalam
pentadbiran negeri.
Zuraida berkata walaupun beliau menghormati hak wakil Amanah
menyuarakan pandangan pada konvensyen Amanah Selangor tetapi seruan
terbuka itu tidak sejajar dengan semangat sepersetujuan dalam gabungan
pembangkang dan ianya tidak matang.
Seruan itu dibuat dalam bentuk usul yang dibentangkan oleh Ketua
Amanah Bahagian Ampang Mohd Anuar Mohd Yusof, diundi dan diluluskan
Sabtu lalu.
Menurut Mohd Anuar, langkah itu wajar bagi memastikan kewujudan
berterusan PAS dalam pentadbiran Selangor “tidak menjadi duri dalam
daging yang boleh menjejaskan usaha membela kerajaan pimpinan PH pada
pilihan raya seterusnya”.
Apabila disoal tentang ini, Salahuddin berkata pimpinan partinya
tiada masalah dengan PAS yang berada dalam kerajaan negeri sekarang.
Katanya, ini kerana pilhan raya umum ke-14 dijangka berlaku bila-bila masa dalam beberapa bulan selepas ini.
“Selepas Parlimen dibubarkan, hal pilihan raya umum akan diketengahkan dalam perbincangan kita.
“Majlis pimpinan PH sudah memutuskan PAS tidak akan menyertai perbincangan itu.
“Kita yakin semua termasuklah mereka yang mahu bekerjasama dengan PAS akan mematuhi keputusan ini.”
PAS meninggalkan gabungan pembangkang utama selepas Pakatan Rakyat
musnah pada Jun 2015 ekoran perbezaan dengan DAP atas pelaksanaan hudud.
Sejak itu, gabungan pembangkang digantikan dengan Pakatan Harapan yang terdiri daripada DAP, PKR, Amanah, dan PPBM.
Bagaimanapun, PAS mengekalkan hubungan politik dengan PKR di Selangor di mana pemimpinnya sebahagian daripada kerajaan negeri.
Hubungan politik itu dikekalkan walaupun Majlis Syura PAS bersetuju
menamatkan semua kerjasama politik dengan PKR selepas usul mengakhiri
hubungan dengan PKR dicadangkan oleh 21 cawangan PAS dan menerima
sokongan daripada Pemuda dan Majlis Syura Ulama PAS pada April. FMT
No comments:
Post a Comment