Badan pemantau pilihan raya berkata SPR mesti
pastikan keselamatan dan penghantaran undi itu, dan menambah misi luar
negara lebih dilengkapi menjalankan tugas itu.
PETALING
JAYA: Bersih 2.0 hari ini membidas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)
kerana melibatkan perkhidmatan pos negara dalam urusan kertas undi pos
dari luar negara untuk pilihan raya umum akan datang, menyifatkan
langkah itu sebagai amat dikesali.
Jawatankuasa pemandu pemantau pilihan raya itu berkata Wisma Putra
dan kedutaan asing lebih dilengkapi untuk menyelaraskan kutipan dan
membawa pulang kertas-kertas undi ke Malaysia.
“Menyerahkan tanggungjawab itu kepada POS Malaysia tidak masuk akal
dan menghukum pengundi luar negara kerana tiada jaminan undi akan tiba
di pusat pengundian sebelum 5.00 petang di hari mengundi.
“Integriti pilihan raya menghadapi risiko kerana SPR ditugaskan untuk
memastikan akses, keselamatan dan penghantaran undi, yang nampaknya
tidak begitu membimbangkan SPR.
“SPR sepatutnya memudahkan pengundi dan bukannya menyusahkan lagi,” kata Bersih 2.0 dalam satu kenyataan.
Awal hari ini, Pengerusi SPR Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah berkata
Kementerian Luar Negeri tidak lagi akan menguruskan penghantaran kertas
undi pos.
Beliau juga memaklumkan pengundi yang menetap di selatan Thailand,
Singapura, Brunei dan Kalimantan, Indonesia tidak layak diberi kemudahan
mengundi melalui pos
“Pengundi dari kawasan-kawasan itu perlu membeli tiket dan memohon
cuti supaya boleh pulang dan mengundi,” kata Bersih 2.0, menonjolkan
kesusahan yang dikenakan ke atas pengundi di kawasan-kawasan itu, yang
membentuk sebahagian besar pengundi Malaysia di luar negara.
Badan itu menambah ketiadaan pengumuman tarikh tetap pilihan raya
umum bererti rakyat mungkin tidak dapat menguruskan cuti dan membeli
tiket lebih awal.
Bersih 2.0 juga menggesa SPR menyelesaikan ketiadaan proses yang
telus dan bertanggungjawab apabila rakyat mengundi di luar negara.
“Maklumat untuk membantu pengundi luar negara tidak mencukupi.
“Setakat minggu lepas sahaja, pemeriksaan oleh Bersih 2.0 mendapati
kedutaan dan suruhanjaya tinggi Malaysia tidak dimaklumkan tentang
perkembangan terbaharu yang diumumkan SPR, untuk menyediakan dan
menasihati pengundi luar negara.”
Badan pemantau pilihan raya itu berkata keadaan itu akan menyebabkan
pengundi menjadi keliru, dan “tidak dapat menggunakan sepenuhnya hak
mereka” sebagai pengundi.
“SPR mesti memastikan perbincangan dan arahan yang betul dijalankan
oleh kedutaan dan konsulat, kerana tanpa perkara itu pengundi akan
berada dalam kekeliruan.”
Kekurangan pemantau pilihan raya di misi luar negara selama ini juga antara isu yang Bersih 2.0 mahu SPR selesaikan.
“Mengambil kira kekurangan pemantau pilihan raya dan integriti SPR
yang dipertikaikan, Bersih 2.0 banyak kali menggesa SPR melaksanakan
prosedur untuk pemantau pilihan raya luar negara bagi melindungi
kerahsiaan pengundi dan keselamatan kertas-kertas undi.”
Badan pemantau itu kemudian menggesa rakyat di luar negara agar
memastikan mereka berdaftar sebagai pengundi pos sesegera mungkin,
kerana pembubaran Parlimen boleh diumumkan bila-bila masa.
“Borang yang diperlukan (Borang 1b) dan garis panduan untuk pengundi luar negara boleh didapati di laman sesawang SPR iaitu www.spr.gov.my dan borang lengkap mesti dihantar ke ibu pejabat SPR.”
No comments:
Post a Comment