Pengerusi Persatuan Hak Asasi Manusia Kebangsaan (Hakam) Datuk Ambiga
Sreenevasan menyelar kepimpinan PKR berhubung krisis parti itu dalam
menamakan calon-calonnya pada Pilihan Rayau Umum ke-14 pada 9 Mei ini.
"Apabila rakyat melakukan segala-galanya dalam kuasa mereka untuk
melepasi halangan untuk memastikan mereka dapat mengundi dan membantu
pada pilihan raya, perbalahan mengarut dalam PKR ini tidak boleh
dimaafkan" katanya dalam satu ciapan di Twitter.
Bercakap kepada Malaysiakini kemudian, Ambiga berkata rakyat
di seluruh negara, dan bahkan di luar negara cuba melakukan yang
terbaik untuk melepasi pelbagai halangan ini untuk memastikan mereka
boleh mengundi pada 9 Mei.
"Rakyat
Malaysia cuba membantu rakan-rakan mereka dalam pelbagai cara untuk
PRU14. Kita sedang menyaksikan satu gelombang yang belum pernah berlaku
sebelum ini untuk memastikan pilihan raya tidak dicuri," katanya.
Justeru, kata bekas pengerusi Majlis Peguam itu, adalah begitu
mengecewakan dan sesuatu yang tidak dapat diterima untuk menyaksikan
kepimpinan terbabit dalam perbalahan cuba merebut kerusi sesama mereka.
"Saya yakin bahawa parti-parti lain juga ada masalah masing-masing tetapi mereka dapat mengatasinya demi kepentingan rakyat.
"PKR begitu menonjol tidak mampu melakukannya," katanya.
Logo PKR
Ambiga mendedahkan dirinya menerima banyak panggilan dan mesej yang
menyatakan rasa kekecewaan berhubung apa yang berlaku, lebih-lebih lagi
dengan hari penamaan pencalonan calon pada Sabtu ini.
"Memandangkan belum ada satu pun calon dari PKR telah diumumkan, ini
sekali gus menghalang mereka daripada menghabis masa yang berharga
dengan pengundi," katanya.
Sambil mendesak perbalahan itu segera ditamatkan, Ambiga menekankan
bahawa kepimpinan PKR harus berlapang dada dan megutamakan kepentingan
negara bagi mengatasi masalah kritikal mereka itu.
"Logo PKR yang akan digunakan pada pilihan raya ini. Lagi banyak
alasan bahawa mereka sendiri harus berlaku adil terhadap keyakinan yang
disandarkan itu.
"Saya menggesa semua pihak untuk mempertimbangkan kedudukan negara dan kehendak rakyat mengatasi segala-galanya," katanya.
Krisis dalam PKR tercetus berikutan keputusan untuk menggugurkan beberapa nama yang dicadangkan sebagai calon di Selangor.
Menurut laporan, nama-nama berkenaan, termasuk naib presiden PKR,
Tian Chua, mendapat restu daripa timbalan presiden parti yang juga
menteri besar Selangor, Datuk Seri Mohammed Azmin Ali.
Spekulasi juga bertiup kencang tentang wujudnya perbalahan di antara
kem atau kumpulan yang masing-masing diketuai oleh Azmin dan Naib
Presiden PKR, Rafizi Ramli.
Pada sidang akhbar semalam, Tian Chua menasihatkan kepimpinan PKR lebih berhati-hati dalam pemilihan calon pilihan raya.
Langkah itu dikaitkan dengan cakap-cakap beliau tidak berpuas hati
selepas calon-calon direstui Azmin dicantas, oleh Ketua Umum PKR, Datuk
Seri Anwar Ibrahim dan isterinya, presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah
Wan Ismail.
Penamaan calon untuk PRU14 ditettapkan pada Sabtu ini manakala hari mengundi adalah pada Rabu, 9 Mei.
This comment has been removed by a blog administrator.
ReplyDelete